Wednesday, February 21, 2018

Ayam Goreng Bawang


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua 

Dahulu, jika tak silap saya sekitar tahun 2011 bilamana saya mula menemui laman yg penuh dgn info2 tentang masakan nasi kandar, saya sangat teruja dan selalu mencuba dan seterusnya memperpanjangkan resepi resepi dari website tersebut iaitu website Mamakhaji.  Kerana resepinya begitu terperinci dan  seringkali juga menepati citarasa saya,  citarasa orang Tanjong!.  Entri saya yang pertama dari resepi Mamakhaji boleh dilihat di  SINI

 Masa berlalu begitu pantas hingga tanpa saya sedar tahun 2018 telahpun menjengah tiba.  Anak anak membesar 
begitu cepat sekali,  besar bagai johan, besar bagai johan, teringat pulak iklan susu popular dumex  dulu2 hahaha.    Usiapun kian menginjak senja,  dah masuk bersiri siri jadinya,  alhamdulillah diberikan nikmat yg begitu banyak hingga terkadang saya terleka.  Astaghfirullahhaladzhim...... Maafkan aku Ya Allah!  diatas segala kelemahan dan kelalaian hambaMU selama ini....sesungguhnya aku tidak sempurna....semuga Engkau dapat terus membantuku untuk sentiasa mengingatiMU, mensyukuri nikmat2MU dan memperbaiki amalku, amin Ya Rabb

Opsss bila usia kian bertambah, n3 pun kian berubah, sesekali tersasul ke lain.
  Namun saya masih mempunyai satu lagi resepi tertunggak Mamak yg belum dipaparkan.
Dah lama sebenarnya saya masak hidangan ayam ini.  Nampak sedapkan?

Jika anda juga menggemari masakan nasi kandar seperti saya, apakata anda jengah sebentar ke link berikut untuk melihat resepi resepi yang telah saya cuba.  Manalah tau anda mungkin terpikat untuk mencubanya.  In sha Allah sedap!  


Oklah kita injak ke resepinya ya,

RESEPI AYAM MASAK BAWANG BEREMPAH.
Sumber  :  Mamakhaji

BAHAN-BAHAN:
– 1 ekor ayam dibersihkan dipotong 12 bahagian.
– 5 Bawang Merah labu dihiris dan digoreng.
– 2 sudu besar serbuk Cili.
– 1 sudu besar Serbuk Jintan Manis.
– 1 sudu kecil Serbuk Jintan Putih.
– 2 sudu besar Rempah Kari (daging).
– 1 sudu kecil serbuk kas-kas – tidak kemestian.
– 2 sudu besar Sos Tiram.
– 2 sudu besar Sos Cili.
– 1 sudu besar sos Tomato.
– 2 sudu besar pes bawang putih-halia.
– 1 sudu kecil serbuk garam masala.
– 2 btg kayu manis, 7 kuntum cengkih, 5 biji buah pelaga, 3 bunga lawang.
– 1 helai daun pandan dipotong 4 inci panjang.
– 1 sudu besar gula.
– 2-3 tangkai daun kari.
– Garam secukup rasa.
– Cili merah dan pudina / daun ketumbar (hiasan).


CARA-CARA MEMASAK:
1. kupas bawang merah labu, hiris halus dan goreng. Bila warna bawang bertukar kepada warna perang keluarkan dari kuali dan sejukkan. Bawang goreng tak perlu ranggup agak kering sudah memadai. Minyak bekas gorengan di simpan untuk menumis rempah.
2. Ketulan ayam telah dibasuh, masukkan garam dan serbuk kunyit. Ketulan ayam yang digoreng jangan terlalu garing. Gorengan perlu 3/4 masak kerana 1/4 lagi akan masak semasa masak dengan campuran kah rempah. Selepas goreng asingkan.
3. Panaskan kuali, dan masukkan minyak gorengan bawang. Bila minyak panas masukkan rempah empat serangkai. Masukkan pes halia bawang putih. Bila haruman naik kecilkan api dapur dan masukkan kesemua rempah-rempah di atas (tidak termasuk sos tiram, sos cili dan tomato) dan juga daun kari. Tentukan rempah tidak hangus. Goreng selama 1-2 minit sudah memadai. Bila rempah mula mengeluarkan aromanya, masukan sedikit air/stok ayam (ikut kuah yang anda perlukan). Bila air bersama rempah mula didih, masukkan sos cili, sos tiram dan sos tomato.
4. Masih api dapur keadaan kecil, masukkan gula dan garam secukup rasa. Masukan semua ketulan ayam yang telah goreng tadi ke dalam adunan rempah. Kacau rata untuk kuah rempah bersalut pada ayam goreng. Masukkan bawang yang telah goreng dan sebatikan pada ketulan ayam. Biarkan ayam masak 1/4 bahagian lagi. Ia cuma memerlukan sekitar 10-15 minit saja dengan api yang kecil. Masakan ini dlm keadaan reneh (simmering).
5. Keluarkan dan hidangkan dengan taburkan cili merah yang dihiris dan juga bawang goreng di atas hidangan anda.


Selamat mencuba

Thursday, February 15, 2018

Resepi Ayam Varuval

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.
Hidangan yang pernah viral di facebook tak berapa lama dulu.




Ayam Varuval

Sumber : Kalaivani Vj
Olahan semula : Surianti Ramli

Bahan-bahan :
1 ekor ayam (potong kecil & dibersihkan)
1 sb kunyit serbuk
1 sb rempah kari Babas
1 sk garam
1 inci halia (ditumbuk halus)
5 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
-gaul rata semua bahan di atas, perap 1 jam dan kemudian digoreng garing. Ketepikan.


Bahan A (goreng sekejap)
4 sb jintan manis
10 tangkai cili kering (di potong 3)
5 tangkai daun kari
1 labu bawang putih dihiris
Minyak secukupnya

-panaskan minyak, goreng jintan manis sekejap, angkat.
-dengan minyak yang sama, goreng pula cili kering, bawang putih hiris dan daun kari hingga wangi. Angkat dan ketepikan.



Bahan B (untuk tumis)
2 - 3 biji bawang besar dihiris
2 biji tomato dipotong 8 (kalau besar guna 1 biji)
1/2 inci halia ditumbuk halus
2 ulas bawang putih ditumbuk halus
2 sb serbuk cili Babas
Garam dan gula secukup rasa


Cara penyediaan :
1. Panaskan minyak, tumiskan bawang besar, halia dan bawang putih yang tumbuk halus dan buah tomato hingga layu.
2. Masukkan cili serbuk (pesan dari tuan punya resepi asal supaya jangan letak air kerana ada air dari bawang). Tambahkan garam serta gula secukup rasa. Masak hingga garing dan pecah minyak.
3. Masukkan bahan A iaitu bahan yang kita goreng sekejap tadi. Masukkan ayam dan kacau rata hingga sebati. Boleh ditabur daun pudina atau daun ketumbar.
Ayam varuval rasanya seimbang pedas, manis dan masam.



Wednesday, February 7, 2018

Murtabak Lapis Cream Cracker




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Anda suka makan murtabak? Hmm Saya? suka saja, rasanya semua orang suka makan murtabak,  kecil, besar, tua muda semua suka.  Paling digemari terutamanya bila menjelang bulan ramadhan, murtabak antara yang menjadi pilihan popular untuk hidangan berbuka puasa.  Selain sedap ianya juga mengenyangkan.  Murtabak terdiri dari selapis @  dua lapisan kulit seperti adunan doh roti canai berinti daging @ ayam.  Lazimnya dihidangkan bersama jeruk bawang ataupun kuah kari.  


Telah sekian lama saya sajikan hidangan murtabak kraker ini,  beberapa tahun yg lepas, dah tak mampu saya ingat lagi.   Murtabak ini pernah menjadi viral satu ketika dahulu.  Adunan intinya lebih kurang sama dengan murtabak asli cuma bezanya adunan doh lapisan digantikan dengan biskut krim kraker.  Kesedapannya memang tidak dapat disangkal lagi.

Mari kita lihat resepinya
MURTAB
MURTABAK LAPIS CREAM CRACKER
Sumber  :  Bro Rozzan
Bahan-Bahan
600 gm daging cincang
3 ulas bawang putih }
2 cm halia } …. kisar/tumbuk
4-5 sudu makan rempah kari daging
(Gaul semua bahan di atas dan perap sebentar)
3 biji bawang besar (potong dadu)
3 sudu makan minyak
garam secukup rasa


Cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang dadu hingga separuh layu. Masukan perapan daging tadi. Bubuh garam dan masak hingga daging kering sedikit. Bahagikan kepada 5 bahagian.


45 keping biskut krim kraker
1 cawan santan
1 cawan susu cair
1 cawan air

secukup daun sup/ daun bawang (potong kecil2)
3 batang lada merah (dihiris)
3 batang lada hijau (dihiris)
150 gm keju parut (optional)
10 biji telur (bubuh sedikit garam, dikocok sedikit)


Cara:Siapkan loyang berukuran 8”x8”. Alaskan dasar loyang dan sekelilingnya dgn kertas kalis minyak (grease-proof) ataupun aluminium foil. Kemudian sapukan dgn mentega.

Satukan santan, susu cair dan air di dalam periuk dan panaskan di atas api. Ambil 9 keping biskut dan celupkan sebentar di dalam campuran santan/susu cair tadi. Jangan terlalu lama agar biskut tak terlalu lembik dan pecah. Setelah itu, susun biskut tadi ke dalam loyang hingga menjadi satu lapisan rata.
KRIM KRAKER

Taburkan satu bahagian daging dgn rata ke atas lapisan pertama biskut tadi. Bubuh sedikit lada merah, lada hijau, daun sup/bawang dan sedikit keju parut. Akhir sekali jiruskan sedikit telur rata-rata ke atasnya. Buatlah begini sehingga lapisan ke lima. Jiruskan lebihan telur rata-rata ke dalam lapisan biskut2 tadi. Biarkan sebentar (abt 5-10 minit) sebelum dibakar dalam oven dgn suhu 170 C selama kira-kira 40 minit. Biarkan ia sejuk sebelum dikeluarkan dari loyang


Untuk hiasan saya juraikan dengan sos cili dan mayonaise serta sedikit taburan cili dan dedaun hijau.


sesi fotografi dengan berbagai gaya

Murtabak ini  sangat lembut dan mudah dipotong. 
Berbagai bagai bentuk potongan dapat digayakan  mengikut citarasa sendiri.


Sesuai dihidangkan bagi semua  majlis  keraian.  Dengan sedikit sentuhan kreativiti ianya boleh juga dijadikan sebagai  hantaran.  


Atau  dibawa pulang sebagai cenderahati  buat insan tersayang.


Kepada penggemar penggemar murtabak, apakata cuba rasai kelainan murtabak kraker dalam gaya yang lebih moden dan eksklusif.



Thursday, February 1, 2018

Resepi Ayam Masak Serai




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,


RESEPI AYAM MASAK SERAI

Bahan-bahan:

1 ekor ayam dipotong kecil2 ( sebesar 2inci x 2 inci) dan dibersihkan
6 batang serai dititik sehingga pecah bawahnya ( sekiranya tidak pecah bawahnya, rasa serai itu kurang dan serai lambat kering)
2 keping asam gelugor
Garam dan kunyit

Bahan untuk di kisar:

6 biji bawang merah
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
sebesar ibujari halia
20 tangkai lada kering dibuang biji dan direbus

Caranya:

Ayam di lumur dengan garam dan kunyit dan digoreng separuh masak
Angkat ayam dan toskan minyaknya
Tumiskan bahan2 yang telah dimesin sehingga agak garing. Masukkan serai dan goreng lagi
Masukkan ayam yang telah digoreng separuh masak tadi bersama asam gelugor dan goreng lagi sehingga serai kering.
Sekiranya serai belum cukup kering dan tidak naik minyak, ini menunjukkan bahawa ayam serai masih belum siap untuk di makan.
Angkatkan semuanya dan boleh dimakan dengan nasi putih panas2 atau dengan nasi impit.

Sumber : Resepi Orang Kampung