Showing posts with label Rencana/Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Rencana/Motivasi. Show all posts

Wednesday, March 2, 2016

10 Tips menjadikan anak manusia yg berguna


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera semua,
"Untuk para ibu-ibu tersayang" Dari Prof Muhaya..


Jom amalkan 10 tip untuk yang nak jadi parent....dah jadi parent....yang baru jadi parent semula... Sama-sama kita amalkan.... Terutama tip yg no 6 tu....

1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak, kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat "iyyakanakbudu waiyyakanastain" - yang ertinya "Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMU pohon pertolongan..", mintalah apa-apa hajat masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang Kita ingat tu, habiskan bacaan surah Al Fatihah doakan semuga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanafaat Dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.

2. Pandang wajahnya semasa dia tidur ucapkan bahawa, ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang!. Cubalah amalkan ( ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya ) Dan ucapan ini adalah DOA Dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.

3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya Kita solat dalam bilik dia Dan dekat dengan dia. Jika Kita selalu buat Dan Kita juga selalu beritahu dia yang Kita sering doakan dia, dia akan rasa satu ikatan kasih sayang yang hakiki yang Kita amat sayangkan dia dan nak dia jadi anak soleh. Dia akan tahu Kita selalu solat hajat untuknya.

4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita ni sedang menunggu panggilan Allah. Jika Dia tak jadi anak soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di Alam Barzah nanti.

5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana Kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.

6. Maafkan anak Kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati Kita. Muhasabbah diri mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita dimasa lampau.

7. Yang paling penting jaga tutur kata Kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita TER.. kata, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk Kita minta maaf padanya. Mengakulah padanya itu kelemahan Kita,  Kita marah kerana dia buat salah, bukan bermaksud membenci. Ceritalah buat macam dramapun boleh .

8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya Kita, anak Dan zuriat keturunan kita termasuk dalam golongan orang2 yang tetap mendirikan Solat. [Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.]

9. Selalu ingatkan anak bahawa tak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta hafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia. Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.

10. Masa basuh beras niatkan "Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku sebut nama dia.....untuk faham agamanya ", [kenapa Kita nak dia faham agama, kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibubapanya juga ke neraka] sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi ". Basuh beras lawan jam ( macam org tawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad S.A.W. Masa buat kerja ini hati jangan lalai..dan ingat kepada Allah selalu.





Monday, November 3, 2014

KELEBIHAN ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH.... :)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Dan salam sejahtera semua,

Sedikit perkongsian ilmu dari rakan blogger
Hayati.  Semuga bermanfaat.

Kelebihan-assalamualaikum.html?m=1 Whatsapp dari group lain:


Hari Jumaat lepas saya mendengar radio IKIM dalam slot usrati membincangkan tentang kepentingan ibadah dalam keluarga.Terlalu banyak ilmu yang saya dapat walaupun tak sempat saya nak catit satu persatu. Tetapi ada satu perkara yang dibangkitkan oleh Ustazah jemputan betul-betul telah menarik perhatian saya. Sebenarnya, waktu itu juga kalau boleh saya ingin berkongsi tentang menariknya perkongsian dari ustazah itu, tetapi kerana kerja yang banyak, lalu saya tangguhkan sahaja. Tetapi bila fikir tentang kerja yang memang tak akan pernah sudah, sampai bila mahu menangguh kan? Jadi hari ni sebelum saya terlupa, baik saya kongsikan dengan ibu bapa kat sini. Ada satu DOA yang mudah dan cepat dan pendek, yang paling senang untuk diamalkan oleh kedua ibu bapa untuk anak-anak mereka, tetapi sering sahaja terlepas pandang. Doa itu adalah : ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH YA .... (sebutkan nama penuh anak) Ya. Itu sahaja baris doanya. Mudah bukan? Tetapi termasuklah saya, sangatlah selalu terlepas pandang akan keistimewaan doa ini. Ok, mari di sini kita catatkan mengapa doa ini terlalu istimewa untuk anak-anak kita : Pertama sekali, ibu bapa hendaklah menjiwai doa itu sedalam dalamnya semasa ia diucapkan buat si anak. Mengapa? Kerana maksud yang terkandung di dalamnya sangatlah membantu dalam kehidupan seharian anak. Selalu kita hanya sebut Assalamualaikum sahaja kan.. (ini saya). Selepas mendengar penjelasan ustazah itu, saya cuba kalau boleh ingin mengucapkan nya penuh kepada anak saya. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH dengan cuba menjiwai setiap ungkapan yang diucapkan. Kenapa istimewa? Mari kita tengok maknanya (ini yang saya sempat salin. Kalau ada yang saya tertinggal, minta kawan-kawan tambah ya):

1- ASSALAM : SEJAHTERA. Awal-awal lagi kita sudah mengucapkan segala kebaikan untuk anak kita pada hari itu. Kita mendoakan segala kesejahteraan buat dirinya pada waktu itu.

2- WARAHMATULLAH : RAHMAT ALLAH. Kita mengharapkan rahmat Allah menjadi bekalan untuk anak-anak kita dalam kehidupan seharian mereka. Bukankan rahmat Allah itu yang sangat-sangat kita harapkan?

3- WABARAKATUH : BERIKAN BERKAT KEPADANYA WAHAI ALLAH Kita mendoakan anak-anak kita diberi berkat oleh Allah, dalam setiap amalannya, perbuatannya, dan apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya, kita mahukan keberkatan untuknya. Lalu, memang 'terbuka' lah mata saya pada hari itu, betapa bermaknanya ungkapan doa yang cukup ringkas ini untuk anak-anak.

Kata ustazah itu, waktu paling bagus untuk mengucapkannya buat si anak adalah ketika mengejutkan dia bangun dari tidur. Bayangkan sahaja lah, celik-celik matanya sahaja sudah memperoleh doa dari ibu atau ayah yang cukup bermakna lagi indah untuknya. Selain itu, boleh juga diamalkan mungkin waktu menghantar atau menjemput dia dari sekolah, atau bila-bila masa sahaja ibu dan ayah ingin mengucapkannya untuk anak. Jiwailah salam dan doa itu. Hayati setiap rangkai maksudnya. Tujukan dengan penuh kasih dan cinta buat si anak. Senyum penuh sayang kepada mereka, ketika kita mengucapkan. Semoga anak-anak kita sentiasa sejahtera, dalam rahmat Allah dan sentiasa diberi keberkatan dalam hidup mereka oleh Allah. Doa yang sama kita ucapkan kepada kawan-kawan kita apabila memberi salam juga insyaAllah

Thursday, February 27, 2014

Jadilah Pemimpin Kepada Diri Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,
Rencana/Motivasi untuk hari ini  


Konsep pemikiran "Reset Minda" menekankan betapa dalam hidup ini perlu menjaga atau mengawal akal dan hati.  Hal ini adalah kerana hati akan berkait dengan emosi dan akal pula berkait dengan fikiran.  Antara akal dan hati, kedua duanya saling berkait, yang bermaksud emosi menentukan keadaan fizikal dan fizikal pula menentukan keadaan emosi.

Contohnya jika emosi kita baik/positif (bahagia, berbaik sangka dengan orang, suka bantu orang, mempermudah urusan orang dan seumpamanya)  fizikal kita akan turut baik/positif (sihat, cergas, pintar, cekap, bertenaga dan seumpamanya).  Demikianlah sebaliknya, jika hati kita buruk/negatif dan akhirnya memberikan kesan kepada fizikal/tubuh badan kita.

Analoginya, ambil sebatang besi yang berkarat dan genggam besi itu sekuat kuatnya.  Tentu tangan kita berasa sakit!  Adakah kita akan terus menggenggam besi berkarat itu sampai bila bila atau kita segera melepaskannya?  Dalam situasi ini adalah lebih baik jika kita membalingnya sejauh mungkin dari diri kita, agar besi itu tidak mencederakan kita lagi dan mencederakan orang sekeliling kita, terutama orang yang kita sayangi.

Begitulah dalam keadaan menempuh kehidupan ini,  sesuatu yang menyakitkan hati kita, yang akan memberikan kesan negatif kepada emosi dan memeningkan akal kita mestilah kita hindarkan jauh jauh dan sesegera mungkin.  Hal ini adalah kerana apa yang kita fikir dan percaya akan menjadi tindakan dan hasil kehidupan (dari segi bahagia, tenang, sihat dan kewangan kita) yang akhirnya memberikan kesan kepada fizikal.

Jika kita diumpat atau dihina orang, adakah kita akan marah dan menyimpan dendam?  Patutkah kita menyimpan perasaan negatif itu hingga herhari hari., berminggu minggu, berbulan bulan atau bertahun tahun?  Sedangkah orang yang mengumpat, mengata dan mengutuk kita itu, mungkin hanya menggunakan masanya lima minit sahaja untuk memuaskan hati negatifnya dan melunaskan tabiat negatifnya.

Akhirnya akibat memendam rasa, kita mengalami tekanan perasaan/stress dan mudah diserang pelbagai jenis penyakit.  Jangan menyalahi nasib diri, berasa rendah diri, tidak yakin kepada kemampuan dan kebolehan diri sendiri.  Ingatlah, bahawa kita hamba ALLAH, kita sama sahaja ada lebih dan kurangnya.  "kelebihan kita melengkapkan kekurangan orang, dan kekurangan kita dilengkapkan oeleh kelebihan orang lain"  Yang hebat hanyalah ALLAH SWT.

TIP HIDUP BAHAGIA
Tip untuk menjadikan kehidupan ini bahagia, ceria dan bermakna.  

Pertama, belajar untuk tenang dan rehat rehatkan minda.

Kedua, masuk ke dalam bilik dan duduk bersendirian, untuk renungkan diri dan bermuhasabah diri atau melihat ke dalam diri kita.   Cari dimana kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki dan di mana kebaikan yang perlu dipertingkatkan.  Ingat, orang yang tidak suka hidup bersendirian bermakna dirinya berada dalam kategori orang yang tidak menyayangi dirinya.  Orang yang tidak sayangi akan dirinya ialah orang yang tidak sayang ALLAH dan tidak bersyukur kepadaNYA.

Ketiga,  gunakan kaedah, "senaman cermin minda".  Gunakan otak atau minda untuk membuat keputusan hidup kita.  Bayangkan apa yang kita hendak jadi atau fokuskan pada masa akan datang, dengan tengok kekuatan dan kebolehan kita (refleksi diri).  Gambaran dalam fikiran kita itulah kehidupan kita.

Keempat, cakap yang baik baik sahaja dan fikir yang baik baik shaja tentang diri kita.  Kerana kata kata kita adalah doa dan tindakkan ALLAH berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita.  Jika kita bersangka baik maka baiklah jadinya, sebaliknya jika bersangka buruk maka buruklah jadinya.

Semoga sifat positif menjadi amalan kita dan niat untuk bahagia dan membahagiakan sentiasa ada.  Ingatlah yang paling berharga dalam hidup ini ada dua.  Pertama, masa.  Iaitu masa lalu menjadi sempadan kehidupan kita dan masa hadapan menjadi perjuangan hidup kita.  Masa yang berlalu tidak boleh ditebus, dibeli atau diganti, maka itu hargailah setiap detik waktu dengan perkara yang berharga.  Kurangkah bercakap tetapi lebihkan tindakan yang cekap.  
Kata Professor Hamka, 
"Orang yang bijaksana itu dikenali daripada ringkasnya kata kata dan indahnya pergaulan".

Janganlah jadi orang yang hidup dalam kesedaran keegoan yang tinggi dan sangat menjaga reputasi berdasarkan tanggapan orang lain atau terlalu memikir apa yang orang lain kata.  Tetapi, jadilah, manusia yang kesedaran keTUHANANnya sangat tinggi yang hanya fikirkan apakah pandangan ALLAH.  Jadilah orang yang menjaga hubungannya dengan ALLAH dan sesama manusia serta bebas daripada penghargaan dan cemuhan manusia.  Jadilah orang yang berilmu, yang menggunakan ilmunya utnuk memberi ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.  Dan jadilah orang kaya yang menggunakan harta kekayaannya pada jalan ALLAH.

Kitalah yang memimpin diri kita, sama ada untuk mencorakkan hidup kita dengan warna warni ceria atau warna warni suram dalam  sepanjang kehidupan kita.  Bagaimana kita melihat dunia ini, ibarat kita memakai cermin mata.  Jika cermin mata pilihan kita berwarna hitam, kita akan melihat dunia ini dengan warna kehitaman.  Jika memakai cermin mata berwarna coklat, dunia yang kita pandang akan berwarna coklat.

Andainya kita memilih cermin mata berkaca cerah, akan cerahlah  dunia yang kita pandang.  Sesungguhnya tangan kitalah yang menentukan "cermin mata kehidupan" pilihan kita.  Maksudnya, kita yang memimpin diri kita jalan yang menjadi laluan hidup kita.  "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak"

PROF DR MUHAYA MOHAMAD
ialah Professor Oftalmologi, 
Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim

Saturday, February 8, 2014

Semakin kaya semakin dekat dengan ALLAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Rencana ini saya salin semula untuk memotivasikan diri sendiri dan renungan pengunjung pengunjung semua.  Semuga ada sesuatu yang dapat memberi manfaat, in sha ALLAH.


Apabila kita sihat, spiritual kita kuat, silaturahim kita terjalin erat, satu perkara lagi yang perlu kita cari dan pelihara adalah kekayaan. Kita perlu kaya kerana dengan kekayaan itu kita dapat menjamin keselesaan hidup berkeluarga, keselesaan hubungan dengan TUHAN dan dapat membantu orang. 

 Memang benar kekayaan bukan jaminan kebahagiaan, kerana wang bukan segala galanya, tetapi segala galanya perlukan wang.

 Lantaran itulah, sebagai manusia, kita mesti berusaha untuk mempertingkatkan kedudukan ekonomi kita. 

Selain kita kena berani membuat pilihan, kita juga kena mencuba bidang baharu ddan mungkin asing bagi kita. Contohnya daripada selesa "menjemput rezeki" dengan bekerja makan gaji, mungkin kita cuba ceburi bidang perniagaan pula. 

 Memulakan "menjemput rezeki" (bukan "mencari makan") dalam bidang perniagaan, merupakan satu cara untuk meningkatkan pendapatan kerana mempercayai bahawa sembilan daripada 10 rezeki datangnya daripads perniagaan, mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

Apakah perbezaan antara "menjemput rezeki" dengan "mencari makan"?  Dalam Kamus Dewan, "menjemput" bermaksud menyambut atau mengambil sesuatu yang pasti ada, sedangkan "mencari" adalah berusaha mendapatkan sesuatu yang tidak pasti dan tidak tahu di mana dia berada.

"Rezeki" pula bermaksud, segala sesuatu yang dikurniakan oleh ALLAH untuk keperluan rohani dan jasmani.  Misalnya, makanan, ilmu dan sebagainya.  Oleh itu, pilihan kata yang tepat untuk kita, sebagai manusia adalah "menjemput rezeki" bukan "mencari makan".

Hal ini adalah kerana, "mencari makan" lebih sesuai untuk dunia haiwan, seperti burung yang keluar dari sarangnya dengan perut yang kempis dan kembali ke sarang dengan perutnya yang kembung.

Sedangkan kita manusia, tanggungjawab kita selain "menjemput rezeki" untuk makanan fizikal, kita juga bertanggungjawab untuk mengambil makanan kerohanian untuk beribadah kepada ALLAH.

Oleh itu, betulkan pilihan kata kita dan niat kita, "Saya mencari rezeki halal, dengan duit ini,   in sha ALLAH saya tidak berhutang dan meminta minta, dapat membuat simpanan, dan in sha ALLAH saya akan menunaikan fardu haji.

Saya mencari rezeki untuk membiayai pelajaran duniawi dan akhirat anak anak, agar mereka menjadi anak yang baik dunia dan akhirat, dan mereka menjadi "pencen kubur" saya nanti.

Saya mencari rezeki untuk membeli rumah yang selesa dan kereta yang selesa, supaya saya selesa beribadah.  Semua rezeki saya, akan saya gunakan untuk mengabdikan diri kepada ALLAH SWT'"

Tentukan setiap perbelanjaan daripada rezeki kita itu hanyalah untuk ALLAH.  Kalau kita berfikir begitu, kita tidaklah akan teragak agak untuk mengeluarkan harta daripada rezeki yang kita cari dan kumpulkan itu untuk membelanjakannya kerana ALLAH, contohnya bersedekah.

Dengan bersedekah, rezeki kita akan berlipat ganda lagi diganti ALLAH, selain kita memperoleh pahala sedekah.  Ingatlah, bahawa kita ini hanyalah tempat "lalu" rezeki ALLAH, bukan tempat untuk "simpan" rezeki ALLAH.

Kalau kita simpan atau terlalu kedekut, takut harta kita terluak atau habis, tidak akan datang lagi rezeki ALLAH kepada kita.  Kerana janji ALLAH, semakin banyak kita memberi, semakin luas ALLAH bukakan rezeki kepada kita.

Bersesuaian dengan hadis daripada Rasulullah SAW,  

"Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur, mencegah daripada mati dalam keadaan buruk dan dengan sebab bersedekah itu ALLAH menghapus sikap takkbur, sombong dan membanggakan diri."

Dengan kekayaan, jadilah kita orang yang bermurah hati.  Apabila memberi mestilah ikhlas kerana ALLAH, bukan bertujuan mendapat penghargaan manusia.

Berilah kepada orang yang tidak tahu siapa yang memberi kepadanya dan tidak mampu membalasnya.

Semakin kita kaya, semakin dekatlah kita dengan ALLAH supaya kita tidak menyesal kemudian hari.  Firman ALLAH dalam surah Al-Munafiqun ayat 10 yang bermaksud 

"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang KAMI berikan kepada kamu, sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya.  Kalau tidak, maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, "Wahai TUHANku, alangkah baiknya kalau ENGKAU lambatkan (kedatangan ajal matiku) ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula menjadi orang yang soleh."

Manfaatkan kehidupan ini sepenuhnya untuk mengabdikan diri kepada ALLAH dan berbuat baik kepada sesama insan,  Seperti kata ilmuwan Islam,

"Alangkah ruginya orang yang masa mudanya tidak menolong orang, orang yang ketika ada duit tidak bersedekah kepada orang, orang yang ada ilmu tidak mengajar orang  dan orang yang masa ada kuasa tidak memudahkan urusan orang."

Jadikanlah kekayaan itu sebagai jalan mendekatkan diri kepada ALLAH, bukan menjauhkan lagi diri dari NYA.

Dalam surah (al Munafiqun)  ayat 9 pula bermaksud, 

"Wahai orang yang beriman !  Janglanlah harta bendamu dan anak anakmu melalaikan kamu daripada mengingati ALLAH.  Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang orang yang rugi."

Buatlah pilihan yang betul dalam hidup kita kerana pilihan  itu menentukan pencapaian kehidupan kita untuk masa hadapan.

Dalam membuat pilihan untuk satu keputusan hidup, jauhi diri daripada terperangkap dengan "dua pencuri".  Pertama, pencuri masa lalu, yakni penyesalan masa lalu.  Kedua, pencuri masa hadapan, yakni kebimbangan masa hadapan.

"Penyesalan" menyebabkan kita tidak ada masa hendak menggunakan ;masa sekarang dengan sebaik baiknya, kerana asyik mengenang masa silam yang kelam dan menyeramkan.

Lupakan masa silam yang gelap itu, tetapi bayangkan masa hadapan yang terang benderang bagi mengatasi rasa "kebimbangan".  Dengan cara ini, kita akan sanggup menghadapi semua cabaran kehidupan yang mendatang dengan penuh semangat dan kecekalan.

"Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

PROF DR MUHAYA MOHAMAD
ialah Professor Oftahmilogi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS).

Thursday, January 30, 2014

Minda "Golongan Komited" dan "Golongan Beralasan"

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Rencana yang saya salin semula untuk mendidik diri sendiri serta renungan  pengunjung semua.  Semuga ada sesuatu yang dapat memberi manfaat, in sha Allah.



Satu perkara yang membezakan manusia dari makhluk ciptaan Allah yang lain ialah keupayaan untuk berfikir dan memilih apa yang difikirkan.  Banyak perkara berbentuk material boleh diambil daripada seseorang tetapi fikiran adalah sesuatu  hak milik sepenuh seseorang dan ia berupaya untuk mengawalnya.  Fikiran menghasilkan emosi, emosi menghasilkan tindakan dan tindakan menghasilkan hasil kehidupan yakni kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan.

Apakah formula untuk berjaya?  Orang yang berjaya, dia buat apa yang orang tidak berjaya tidak suka lakukan.  Bukan kerana dia suka tetapi ia menjadikan perkara itu tabiat yang dibuat tanpa perlu berfikir lagi.  Apakah formula untuk menjadi hebat?  Orang yang hebat dia buat tindakan yang luarbiasa, hasil daripada fikiran yang luarbiasa dan menghasilkan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan, ketakwaan dan kebahagiaan) yang luar biasa.

Hakikatnya, orang yang benar benar bahagia dalam hidupnya, suka apa yang dia buat dan buat apa yang dia suka dengan rahmat Allah dan mendapat sokongan daripada orang sekelilingnya.

Pertama, dia sudah nampak masa hadapannya, yakni dia melihat di dalam imaginasi apa yang dia percaya apa yang dia akan jadi pada 10, 20 atau 30 tahun akan datang.

Kedua,  sentiasa berfikiran positif, sedar dirinya unik dan yakin dirinya hebat.  Orang yang tidak yakin dirinya hebat bermakna dia tidak yakin dengan kehebatan Allah yang menciptanya.  
Ketiga,  sentiasa ada niat dan perasaan "hendak memberi" bukan hendak mendapat".  Oleh itu, apabila dia membuat sesuatu kerja, dia membuatnya dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan memberi sebanyak mungkin manfaat tanpa memikirkan berapa banyak manfaat yang dia boleh dapat, yakni dari segi ganjarannnya.

Keempat,  dia akan sentiasa berasa sesuatu benda atau perkara itu banyak dan rezeki sangat luas.  Oleh itu, dia sentiasa berlapang dada, tidak tamak haloba dan tidak berasa iri hati apabila tidak berpeluang memperolehinya.

Kelima,  sangat berdisiplin untuk mencapai cita citanya.

Keenam,  sentiasa boleh mengawal "dunia dalaman" (fikiran dan emosi) yang menentukan keputusan pilihan dan tindakannya dalam mencapai hasil kehidupannya.


Ciri ciri atau sikap orang yang dalam 'golongan beralasan".

Pertama,  tidak ada perancangan dan matlamat hidup.

Kedua,  sentiasa mengutuk diri sendiri dan berasa rendah diri hingga tidak berani mencuba sesuatu yang baharu dan asing buat dirinya.

Ketiga,  sangat berkira dan suka memberi "alasan" apabila tidak berjaya bukan mencari "jalan" untuk mencapai kejayaan.  "Alasan" kegagalannya itu selalunya dikatakan berpunca daripada orang lain atau faktor luaran.

Keempat,  sentiasa berasa dunia ini sempit, rezeki sedikit dan peluang terhad dan akan berebut dan cepat merasa dengki dengan kejayaan orang lain.  Oleh itu, dia sentiasa hendak bersaing, kedekut dan sering enggan memberi kerjasama.  

Kelima,  tidak tetap pendirian dan tidak konsisten.

Keenam,  berfikiran negatif dan sangat emosional.


Manusia boleh berubah menjadi baik, yakni daripada "golongan beralasan" menjadi "golongan komited" dengan cara membuat perubahan paradigma.  Paradigma bermaksud bagaimana seseorang itu berfikir dan kemudian memberikan respons emosi terhadap apa apa yang berlaku.

Dalam Kamus Dewan, paradigma bermaksud batasan pemikiran seseorang pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman.  Paradigma terkandung dalam pengalaman.  Paradigma terkandung dalam "minda sedar" iaitu apa yang kita fikirkan dan terkandung juga dalam minda segar/minda bawah sedar (roh) yang 95 peratus menentukan kehidupan seseorang.  

Oleh itu, seseorang boleh mengubah paradigma dengan mengubah cara  berfikir.  Sebenarnya apa yang kita lihat bukan dengan mata fizikal tetapi kita melihat melalui mata hati.  Apabila seseorang mempunyak banyak ilmu yang luas, tafsiranya terhadap sesuatu yang dilihatnya menjadi luas berbanding dengan orang yang kurang berilmu.

Paradigma yang akan menentukan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan)  Demikianlah betapa pentingnya ilmu, kerana kekuatan minda dan fikiran ditentukan oleh saringan dan pilihan bahan bacaan dan tontonan yang mampu menjadikan kita kaya dengan ilmu.

Oleh itu, bagi menentukan sama ada kita termasuk dalam "golongan berjaya' atau "golongan komited" sangat sangat bergantung kepada pilihan kehidupan kita yang kelima iaitu "minda dan fikiran".

Oleh sebab itulah saya perkenalkan satu konsep atau gaya pemikiran yang saya namakan "Reset Minda" iaitu sains kehidupan yang mengikut sunatullah, yakni undang undang alam yang dicipta Allah.

"Reset Minda" memandu arah bagaimana kita :"berfikir" (melalui minda sedar/akal) dan bagaiman kita "beremosi" (melalui minda bawah sedar/hati) apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

"Reset Minda" adalah konsep pemikiran bagaimana mengubah cara kita melihat sesuatu kejadian dan peristiwa yang terjadi ke atas diri kita.  Kalau sesuatu kejadian itu menyedihkan kita, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah dan kita reda.  Sebaliknya jika peristiwa gembira yang hadir dalam hidup kita, terimalah sebagai satu rahmat daripada Allah dan kita bersyukur serta sedari bahawa apa yang kita peroleh itu bukan kerana kehebatan kita, tetapi kurniaan Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Berkuasa.

Dengan kedua dua cara ini, kita akan menjadi seorang  yang tabah dan tidak riak, malah akan sentiasa merendah hati (bukan merendah diri).  Memegang resmi padi "semakin berisi semakin berliut  lentuk menyembuh bumi".  bukan seperti lalang "mencanak ke langit tinggi kosong tidak disenangi oleh orang di sekeliling kita, dan kita pula menjadi seorang yang bahagia dan membahagiakan.

Ubah cara kita melihat sesuatu,   (Reset minda) jika sesuatu masalah menimpa kita, lihatlah masalah itu sebagai satu peluang yakni "batu loncatan" bukan "batu halangan" untuk capai satu kejayaan yang baharu.

Kalau kita fokus kepada perkara yang baik/positif, in sha Allah kita akan dapat perkara yang baik sahaja.  Masalahnya sekarang, kita suka fokus kepada masalah, jadi masalah pun datang dan kalau memang sudah sedia ada masalah, masalah menjadi semakin membesar.

Oleh sebab itu, dalam konsep pemikiran "Reset Minda" disarankan kita menjaga tiga perkara.  Pertama,  kata kata yang keluar dari mulut kita.  Kedua,   fikiran yang berkisar dalam minda kita.  Ketiga, perasaan yang berbolak balik dalam hati kita.  Pastikan semua kata kata itu, yang positif dan jangan ada sama sekali kata kata negatif.

Hal  ini adalah sangat penting kerana, dalam islam kata kata itu adalah satu doa.  Sebagaimana Hadis Qudsi menyatakan "Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita atau sangkaan kita, kalau kita sangka baik, baiklah yang kita dapat, demikianlah sebaliknya.  Oleh itu, bersangka baiklah dengan Allah".

Demikianlah kepentingan minda atau akal anugerah Allah yang membezakan manusa dengan haiwan.  "Lalang suburnya kerana akar, rentaplah akarnya, lalang bakal kering terkapar".  Kalau "orang mulianya kerana akal, jagalah akalnya, hati menjadi cekal, minda menjadi segar".  (dalam buku Mata Akal Mata Hati). " Jom audit diri, Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".


PROF DR MUHAYA MOHAMAD
ialah professor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili.



Thursday, December 26, 2013

Berlapang Dada Dengan Musibah Tanda Bersyukur

Sesiapa yang kenal ALLAH, dia yakin kepada ALLAH, senang untuk dia patuh kepada ALLAH dan pasrah atas segala qada dan qadar ALLAH.  Kita akan berasa tertekan kalau kita tidak suka dengan apa apa yang berlaku ke atas kita.  Kita tidak boleh pasrah atas apa apa yang berlaku kalau akidah, ibadah dan akhlak kita dengan ALLAH tidak terjaga.  Kualiti kehidupan kita bergantung kepada tahap kesedaran keTuhanan  dan kehambaan kita kepada ALLAH S.W.T.

Sesiapa yang tahap kesedaran keTuhanannya tinggi, in sha ALLAH, hidupnya bahagia.  Apabila kita kata tahap kesedaran maknanya, bagaimana cara kita melihat sesuatu peristiwa atau kejadian dan bagaimana kita menghadapinya.  Adakah kita menerima dan menghadapinya dengan ketabahan hati, sabar dan reda atau di sebaliknya.

Tahap kesedaran itu bergantung dari sudut mana kita melihatnya.  Contohnya, semut di atas permaidani, semut ketika ia berada di atas permaidani, ia tidak nampak apa apa pun keindahan pada permaidani itu.  Sebaliknya, semut itu berasa lemas, rimas dan sesak dengan permaidani yang berbulu tebal dan tempat berkumpulnya habuk dan pasir halus.  Tetapi, kalau kita naikkan semut itu ke atas, yakni menjadikan semut itu berada di tempat yang tinggi dari paras permaidani tadi, barulah semut itu nampak, cantiknya permaidani itu.

Demikian jugalah dengan segala peristiwa sedih dan hitam yang menimpa diri kita, yang ditakdirkan oleh ALLAH.  Kalau kita pandang ia sebagai musibah maka rebahlah semangat dan iman kita.  Tetapi, kalau kita pandang ia sebagai anugerah ALLAH untuk menguji keimanan kita, maka terpeliharalah keyakinan kita kepada TUHAN Yang Esa, serta dapatlah kita merasai kenikmatan kemanisan iman.  Bersyukurlah kita dalam musibah dan terimalah ia sebagai kurniaan kerana ALLAH hanya menguji hambaNYA yang terdaya menerima ujianNYA, serta yakinlah setelah kesusahan akan ada kesenangan menanti di hadapan.

Orang yang bijak, apabila berlaku sesuatu kepada dirinya, dia akan bertanya, "Apakah yang boleh saya belajar daripada peristiwa atau perkara ini?"  Atau, "Apakah yang boleh membuatkan saya menjadi dekat dengan ALLAH dalam situasi ini?"  Tentukan kita hidup dengan keimanan yang betul dan rukun islam itu kita buat dengan ikhlas atas kesedaran tanggungjawab kita kepada ALLAH dan berlapang dadalah kepada ALLAH.

Konsep berlapang dada ini, adalah mengubah cara kita memandang sesuatu.  Kita ubah bahasa yang kita gunakan, daripada kecewa, sedih kepada sabar dan reda, maka kita telah mengubah cara kita melihat ("reset minda").  Seterusnya mengubah cara kehidupan kita menghadapi sesuatu musibah, daripada susah kepada senang.

Kita ini sentiasa berada dalam dua situasi.  Pertama, samada dipengaruhi atau mempengaruhi.  Kedua, samada memberi perhatian atau mencari perhatian.  Itu Sahaja!  Sebab itu orang yang bijak atau "orang yang jernih", dia selalu mengatakan, "Dia melakukan kehidupan."  Tetapi, "Orang yang keladak", iaitu orang yang lemah akan mengatakan "Kehidupan berlaku dan dia terpaksa menghadapinya".   Maknanya, "orang yang keladak" tidak akan ada konsep berlapang dada dalam hidupnya.

Bagaimanakah cara hendak reda dan bersyukur setelah dilanda musibah?.  Pertama, mesti kenal diri kita dan kenal ALLAH.   Kita mesti tahu mengapa kita dilahirkan ke dunia ini, iaitu untuk mengimarahkan kehidupan ini.

Kedua,  untuk kita bersyukur ini kita tulis dalam "jurnal kesyukuran", setiap hari tulis tiga perkara yang kita kena bersyukur.  Kajian saintifik menunjukkan bahawa sesiapa yang menulis tiga perkara yang positif setiap hari secara konsisten dalam masa tiga bulan, kehidupannya akan berubah menjadi positif.

Dia menjadi lebih tenang, bahagia dan lebih reda menerima apa apa sahaja yang berlaku ke atasnya dengan hati terbuka.

Ketiga, sebagai orang Islam terus berdoa kepada ALLAH kerana telah menghidupkan kita kembali dan memberikan sehari lagi umur kita untuk meneruskan kehidupan.  Roh kita menjadi tenang apabila kita berdoa.

Keempat, menjaga emosi dengan cara memberi kasih sayang tanpa had, tidak kira orang itu baik atau tidak kepada kita.  Sayangi semua makhluk ALLAH, sentiasa memaafkan orang, takut hanya kepada ALLAH, buang jauh jauh perasaan, sedih, kecewa, marah, dendam, benci, tamak, dan suka percaya kepada tahyul.

Kelima,  banyakkan bersedekah, orang yang bersedekah terhindar daripada musibah, menyembuhkan penyakit dan tanda orang yang bersyukur.  Kerana kita percaya walau apa pun yang berlaku kepada kita, semuanya tanda ALLAH sudah tetapkan takdir untuk kita, maka apa apa sahaja yang berlaku kita akan tenang menghadapinya.

Kita mesti yakin apa apa yang ALLAH beri semuanya baik pada pandanganNYA, biar pun peristiwa itu buruk dan menjadi sejarah hitam hidup kita.  Oleh itu, bagi mangsa mangsa musibah sekalian yang masih selamat, bersyukur kerana ALLAH suka dengan orang yang sabar dan reda.  Kita mungkin kehilangan harta benda, tetapi ALLAH masih kekalkan anak anak kita dan keluarga kita.  Pandanglah apa yang kita ada, jangan pandang apa yang kita tiada, barulah kita akan bersyukur.

Semoga kita bersangka baik kepada ALLAH dan tidak berputus asa dalam hidup ini.  Kuatkan semangat untuk bangun semula setelah ditimpa musibah.  Kita berdoa sebagai hamba, dan ALLAH sebagai TUHAN kita, yang menentukan bila doa kita dimakbulkan.  "Jom jaga diri, jaga akidadh, ibadah dan akhlak".

556768 452889908074051 1460721447 n

PROF. DR MUHAYA MOHAMAD
(Professor Oftahmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili.

Thursday, December 19, 2013

SIBUK MELIHAT DIRI ATAU ORANG LAIN

Jaminan untuk mendapatkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat juga bergantung kepada pilihan kita yang keempat iaitu bagaimana kita menjaga hubungan silaturrahim.  Orang yang menjaga hubungannya dengan ALLAH, akan disayangi ALLAH dan hidupnya akan bahagia di dunia dan di akhirat.  Hanya orang yang bahagia dapat membahagiakan orang  dan disenangi oleh orang di sekelilingnya.


Dengan ketakwaan juga seseorang itu mendapat ketenangan dan orang yang tenang sahaja dapat menenangkan hati orang lain.  Orang yang tenang mudah menyenangi hati orang dan hubungan silaturrahim mudah terjalin.  Dalam kehidupan ini kita amat perlu menjaga hubungan kita sesama manusia melalui ikatan silaturrahim.


Tidak kira apa bangsa dan keturunan kita, apa status pencapaian akademik dan pangkat kita dan apa pun agama kita, menjaga silaturrahim diwajibkan oleh Islam.  "Kebanyakkan kita inginkan ketenangan, tetapi kita tidak menenangkan orang.

Kita hendak bahagia, tetapi kita tidak bahagiakan orang.  Demikian jugalah, kita hendak kebebasan tetapi kita mengongkong orang.  "Ingatlah formula "ADA, BERI, DAPAT" yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran "Reset Minda".


Maknanya, hanya orang yang "ADA" ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan dalam dirinya yang dapat "BERI" ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan kepada orang lain.

Akhirnya kita akan "DAPAT" respons kehidupan yang positif hasil daripada tindakan positif yang kita "ADA" dan kita telah "BERI".  Hubungan silaturrahim ini akan terjalin baik apabila jiwa kita bersih.


Kita tidak akan membersihkan jiwa kita selagi kita hanya melihat keburukan dalam diri orang lain.  Salah satu cara ALLAH memberikan kebaikan atau hidayah kepada seseorang adalah apabila kita sibuk melihat kesilapan diri dan sibuk melihat kebaikan orang lain hingga kita tidak sempat hendak melihat keburukan orang.


Manusia paling malang ialah manusia yang menyembunyikan keburukan diri,  tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang dan sentiasa berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.


Tip untuk menjaga silaturrahim, pertama, kita kena hilangkan minat untuk melabel atau menghukum orang.  Punca pergaduhan kerana apa?  Kerana suka melabel dan menghukum orang kerana sibuk hendak menegakkan benang yang basah, yakni tidak mahu mengaku kesilapan  dan kerana tidak mahu menerima kenyataan.

Kedua, sentiasa menjadikan orang lain itu penting dalam hidup kita bukan kita mementingkan diri kita.  Ketiga, melayani orang sebaik mungkin sebagaimana kita harapkan orang melayan kita dengan baik.

Keempat, jadikan setiap pertemuan kita dengan seseorang itu sebagai satu pengalaman yang terindah buatnya sehingga dia teruja untuk meneruskan silaturrahim dengan kita.

Adab bersilaturrahim dalam Islam, pertama, apabila berbicara cari perkataan yang menyeronokkan dan menyenangkan hati orang yang mendengar.  Kalau kita berasa sukar hendak mengeluarkan perkataan yang baik bermakna kurang kebaikan dalam diri kita.

Kedua, jangan sesekali menghina terutama menghina peribadi.  Sebagaimana kita tidak suka dihina, kita juga tidak suka menghina orang.  Ketiga, beradab walaupun dalam keadaan bergurau.  Keempat, jangan amalkan sikap yang kononnya kutuk mengutuk membawa bahagia.

Kelima,  maafkan orang.  Biarpun kepada orang yang berbuat salah kepada kita.  Maknanya, kita ada hak untuk membalasnya tetapi kita tidak membalas, sebaliknya kita memaafkannya.

Orang yang memaafkan merupakan orang yang suci hatinya serta berjaya merendahkan egonya dan berjaya meningkatkan ketakwaannya.

Sedangkan ALLAH itu Maha Pengampun, siapalah kita sebagai hambaNYA yang tidak mahu memaafkan dosa sesama kita.  Sesungguhnya hendak memaafkan mudah, tetapi hendak memohon maaf itu yang sukar kerana kita terpaksa menurunkan keegoan kita.

Ingatlah, orang yang tidak memaafkan orang sebenarnya dia sedang menyimpan racun dalam dirinya, yang akan memusnahkan hidupnya sedikit demi sedikit.

Analoginya seperti patukan ular, yang mematuk mangsanya cuma sekali patukan, tetapi bisanya merayap ke seluruh badan hingga akhirnya boleh menyebabkan kematian.  Begitu juga dengan kita, orang menyakitkan hati kita hanya lima minit, tetapi kita menyimpan dendan berhari hari, berbulan bulan, bertahun tahun atau sepanjang hayat kita.

Seandainya kita meninggal dunia, membawa bersama sama dendam yang tidak berkesudahan yakni kita tidak memaafkan orang atau kerana keegoan tidak mahu mengakui kesalahan dan memohon maaf di akhirat nanti hidup pun tidak tenang.

Jom lihat dan audit diri kita, jika hubungan dengan ALLAH rapuh akan mulalah timbul ego dan kesombongan.  Jika kita solat tetapi sombong, muhasabah solat kita.  Tidak ada orang yang ego dan sombong disukai orang dan terjaga silaturrahimnya.

Orang yang benar benar tenang ialah mereka yang tidak terkesan dengan pujian dan cemuhan orang, tetapi mereka sentiasa melihat kebaikan orang dan sentiasa bersangka baik terhadap orang dalam setiap kebaikan.

Refleksi diri, cari inspirasi diri dan transformasi diri dan "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

PROFESSOR DR MUHAYA MOHAMAD
Pakar Perunding Mata serta penceramah motivasi