Tuesday, February 14, 2012

Kisah Si Comel Tuah - Bahagian II

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Sedikit sambungan dari Kisah Si Comel Tuah tempohari.

Keesokkan harinya tanggal 25 Jan 2012,
Saya bercadang meletakkan kembali Tuah di tempat asalnya, bagi memberi peluang kepada Tuah untuk bertemu dengan ibubapanya. Mana tahu mungkin ibu dan bapanya akan datang mencari. Atas alasan itu, maka saya pun mengangkat kotak berisi kucing comel Tuah dan membawanya ke belakang rumah. Tuah saya letakkan kembali di tempat dimana ianya mula mula diketemukan.

Saya kembali ke dalam rumah membereskan kerja kerja dapur serta aktiviti seharian, Kasut anak anak saya ambil untuk dicuci. Selesai mencuci, saya ke belakang semula untuk menjemur kasut, sambil mata ini tak henti henti menjeling ke arah kucing Tuah . Tuah masih tidur lagi, kelihatan seekor kucing jantan berbaring berhampiran kotak Tuah. Nampaknya kucing itu sekadar berehat rehat di samping Tuah. Saya mengandaikan, mungkin itu bapa Tuah, maka saya pun membiarkannya lalu berlalu pergi.

Beberapa minit berlalu, saya keluar kembali melihat kucing Tuah. Alangkah terkejutnya saya, suatu kejadian di luar jangkaan telah berlaku. Saya jadi kaget dan tergamam seketika. Tuah berlumuran darah, ada kesan gigitan di leher dan bahu Tuah, darah mebasahi kain dan kotak. Saya meluru masuk ke dalam rumah serta memanggil manggil AminFayyadh untuk sama sama melihat situasi Tuah. Kami bersama sama mengangkat kotak masuk ke dalam rumah. Saya lihat keadaan Tuah tenat, Tuah tidak bergerak lagi, badannya kaku. Pantas saja fikiran ini memikirkan dimana letaknya kotak kecemasan. Ubat disapukan di leher dan badan Tuah perlahan lahan, seraya membalutnya sebaik mungkin, sambil di dalam hati kecil ini berdoa agar Tuah tidak apa apa. Saat ini hati saya sudah sebak, beribu penyesalan bersarang di hati, mengapa harus aku biarkan kucing Tuah tadi, tak sepatutnya Tuah ku biarkan sendirian di luar. Penyesalan sudah tidak berguna lagi, nasi sudah menjadi bubur. Niat suciku untuk menemukan Tuah dan ibubapanya berakhir dengan tragedi menyayat hati.

Maafkan ibu Tuah, ibu tidak menjangkakan perkara sebegini akan menimpa Tuah. Saya terus berdoa di dalam hati dan berharap agar keajaiban akan terjadi dan Tuah kembali seperti sediakala . Berkali kali saya mengusap kepala Tuah, sambil di dalam hati berdoa, Ya Allah, selamatkanlah Tuah. Saat ini airmata sudah tidak dapat dibendung lagi. Saya menangis kesedihan yang amat sangat. Saya lihat AminFayyadh sudah sebak, ada airmata yang tergenang di kelopak matanya. Berkali kali dimintanya saya membawa Tuah ke klinik. Malangnya, saya tidak tahu dimana letaknya klinik haiwan yang berhampiran. Dan lagi, saya dapat rasakan yang Tuah sudah tiada lagi. Hanya yang mampu saya lalukan ialah memujuk Fayyadh serta minta dia berdoa agar Tuah tidak apa apa.


Beginilah keadaan Tuah beberapa minit selepas kejadian. Keadaan Tuah sungguh menghibakan saya.
Berkali kali saya memegang dan mengusap Tuah, malangnya tiada sebarang tindakbalas. Tuah tidak bergerak langsung. Tuah seperti sedang tidur dalam lena yang amat panjang. Tenang saja wajahnya kelihatan, setenang air di kali. Hati saya semakin sayu melihatkannya. Akhirnya anak sulung saya, Asyraf menyakinkan bahawa Tuah sudah tiada lagi. Saya lihat AminFayyadh masuk ke dalam bilik air dan sejurus selepas itu kedengaran suara tangisan teresak esak, Amin Fayyadh menangisssssss. Tidak saya sangka hatinya begitu lembut dan mudah tersentuh, dia menangis semau maunya menahan kesedihan yang amat sangat. Sebenarnya, semasa mula mula diketemukan dengan Tuah, Fayyadhlah yang beria ia ingin menjadikan Tuah sebagai binatang peliharaanya dan berjanji akan menjaganya sebaik mungkin. Malahan beberapa keping gambar Tuah telah diletakkan di dlm facebooknya sebagai kenangan. Tetapi Allah lebih sayangkan Tuah, mungkin ada sebab mengapa semuanya ini terjadi.

Saya membalut Tuah dengan kain putih. AminFayyadh mengorek lubang di belakang rumah untuk mengebumikan Tuah. Bersemadilah Tuah di bawah pohon limau purut, semuga Tuah tenang di pembaringan.

Petang itu, bila hubby pulang dari kerja, spontan saja hubby bertanya mana perginya kucing semalam. Maklum, semalam hubby lihat kami anak beranak amat gembira melayani kucing tersebut. tiba tiba hari ini sudah tidak kelihatan lagi. Bila ku ceritakan kejadian pagi ini, hubby turut terkejut dan bersimpati. Hubby hanya mendiamkan diri bila ku tunjukkan AminFayyadh yang masih dalam kesedihan. Ternyata dia amat menyayangi Tuah walaupun baru sehari bersamanya. Saya hanya mampu memujuk agar tangisannya tidak berpanjangan. Semuanya ketentuan Allah sayang, tak siapa dapat menghalangnya. Sambil menangis teresak esak dengan suara yang perlahan, Fayyadh minta mama dan abah belikan kucing yang baru sebagai ganti............

Bila hari hampir senja, bunyi bising kedengaran. Pertengkaran besar di antara 2 ekor kucing meletus. Aksi kejar mengejar berlarutan hingga ke malam. Kata AminFayyadh, mungkin itu ibu dan bapa Tuah. Dari warna kucing tersebut, saya yakin itu ibu Tuah kerana corak dan warna di badannya kelihatan sama seperti Tuah dan dari keadaan fizikal badannya terdapat tanda tanda baru melahirkan. Maka, sudah pastilah sijantan adalah bapa Tuah. Saya semakin yakin bahawa Tuah telah digigit oleh bapanya sendiri, kerana hanya kucing jantan itu sahaja yang ada berhampiran Tuah sebelum kejadian.

Keesokkan harinya, pertengkaran yang sama berulang kembali. Kucing betina kelihatan sungguh garang. Mungkinkah ini reaksi ibu Tuah setelah mengetahui pelakuan kejam bapa terhadap anaknya???

2 comments:

  1. sedih pulak baca 2 n3 pasal tuah ni... saya kadang2 teringin jugak nak pelihara kucing buat teman bosan...tapi takut xde kesabaran je..

    ReplyDelete
  2. Oh! Terharunya Amie baca entri Wattie pasal kucing ni... kesian betul. Memang tidak dapat dinafikan, adanya naluri dalam diri haiwan sebab mereka tak tahu berkomunikasi melalui kata-kata, tetapi boleh merasa kerana adanya perasaan!

    ReplyDelete