Monday, February 3, 2014

AYAM LADA HITAM / BLACK PEPPER CHICKEN


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Semenjak dua menjak ni mood  mengambil gambar masakan sehari hari dah pulih kembali.  Rindu rasanya nak berblogging macam dulu dulu, mencuba  kepelbagaian resepi sumbangan kawan kawan blogger.  Blogwalking ke sana sini mencari resepi resepi terbaru.  

Tapi  itulah,  selepas mula menerima tempahan kek dan lain lain,  terasa waktu yang ada  begitu terhad, resepi resepi yang tersimpan dalam fail terlalu banyak yang belum dicuba.   Blogwalking pun dah jarang-jarang dilakukan,  sampaikan kengkawan maya pun habis lari kesemuanya, huhuhu.    Mana taknya, asyik tunjuk gambar tempahan aja, boringla kan.


Sedihnya terasa kerna ramai juga teman teman blogger yang telahpun menyepikan diri.  padahal mereka semua blogger yang hebat hebat belaka.   Di kejauhan ini saya senantiasa mengharapkan agar mereka kembali berblogging seperti dahulu.


Saya perhatikan ramai juga teman teman blogger masakan dah beralih arah ke dunia perniagaan, alhamdulillah satu perkembangan yang positif.  Semuanya bermula dari mencuba  resepi-resepi  yang dikongsikan di internet, dari yang tak pandai memasak, dah pandai  memasak,  ada yang kehebatannya melebihi chef.   Tak hairanlah media cetak dan media elektronik pun berlumba lumba mendapatkan blogger masakan  untuk dipertontonkan kehebatan masakan dan fotografi mereka.  Alam blogging menguntungkan sebenarnya jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.  Banyak info dan ilmu ilmu yang berguna dapat ditimba.


Opsss,  jom kita intai kejap apa yang ada dalam bekas comel ni.
 Untuk resepi kali ini, saya memasak ayam lada hitam,  resepi yang telah berulangkali dimasak di dapur kecil saya, cuma gambarnya saja tidak diambil.  Iyalah kan, takkan nak letak resepi sama aja hari hari, mesti boring giler nanti dibuatnya.   Resepi ni memang saya jamin sedap, in sha Allah.  Tapikan,   kenalah memasak dengan hati yang penuh dengan rasa kasih dan sayang, barula menjadi.

Resepi Mami Asmah Laili yang banyak menggunakan rempah ratus ini  bagi saya memang yang terbaik, cukup segala rasa sebagaimana yang sepatutnya,  jangan pandai pandai pi  tambah atau kurangkan bahan, gerenti lari rasanya.

    Kalau nak  lihat hasilan saya yang terdahulu bolehla klik   di SINI.



Resepi sumbangan Mami Asmah Laili ni dikongsikan bersama oleh DianaA di laman  www.myresepi.com. Terimakasih  ya.

AYAM LADA HITAM

Bahan-bahan ( 5 orang )
1 ekor ayam, buang segala lemak dan kulit, potong 12
2½ sudu makan lada hitam, ditumbuk kasar
Garam secukup rasa
Bahan diatas digaul rata dan diperap selama ½ jam
4 sudu makan kerisik putih
1 sudu makan lada serbuk
1½ sudu teh serbuk jintan halus
1½ sudu makan serbuk ketumbar
1 sudu teh kunyit serbuk
3 biji bawang besar, dihiris halus
3 biji tomato, didadu




1 jari kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
3 sudu makan pes halia dan pes bawang putih
1 pelepah daun ketumbar, dirampai
Garam secukup rasa
1 sudu teh gula
1 cawan minyak kanola
Lagi 2 sudu makan lada hitam, ditumbuk kasar


Cara-cara

Panaskan minyak didalam kuali. Goreng ayam sehingga ¾ masak. Angkat dan ketepikan.
Masukkan pula minyak yang sama, hirisan bawang, kayu manis, cengkih dan pelaga. Tumis sehingga naik aromanya.
Masukkan pes halia/bawang putih dan tomato. Masak selama 5 minit. Selepas itu, masukkan lada serbuk, kerisik, serbuk ketumbar, serbuk jintan halus, kunyit dan garam. Tuang ½ cawan air.
Masukkan kepingan ayam goreng dan masak selama 5 minit lagi. Taburkan gula, lada hitam, hirisan daun ketumbar dan renihkan selama 5 minit.
Enak disajikan dengan sebarang nasi mahu pun roti.







Bekas tahan panas ini saya beli daripada kawan saya yang berbangsa india semasa bertugas dahulu.   Kalau tak silap, saya beli masa baru baru kahwin, kiranya dah melebihi 20 tahun usianya.  Beli dulu pun sebab kawan beria ia menyakinkan yang bekas ni sangat bagus untuk menyimpan makanan dan kepanasannya kekal hingga ke petang.  Sesuaila kalau nak pergi berkelah atau nak bawa bekal ke tempat kerja.   Saya ni pula,  apa saja yang dijual oleh rakan sepejabat  mesti nak dibeli, payah sangat saya nak menolak, nak jaga hati kawanla katakan padahal gunanya tidak.


 Bekas ni buatan India.  1 set ada 3 bekas  dengan saiz yang berbeza,  ada saiz kecil, sederhana dan besar.  Bahagian dalamnya dilapisi  stainless steel.  Yang saya guna untuk fotografi kali ini ialah bekas yang paling kecil.     Tak ingat langsung berapa harganya.

 

Banyak pinggan mangkuk kat dapur saya yang dah pecah,   maka bekas ni la jadi sasarannya untuk sesi fotografi kali ini.


SELAMAT MENCUBA!!!

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete