Thursday, February 27, 2014

Jadilah Pemimpin Kepada Diri Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,
Rencana/Motivasi untuk hari ini  


Konsep pemikiran "Reset Minda" menekankan betapa dalam hidup ini perlu menjaga atau mengawal akal dan hati.  Hal ini adalah kerana hati akan berkait dengan emosi dan akal pula berkait dengan fikiran.  Antara akal dan hati, kedua duanya saling berkait, yang bermaksud emosi menentukan keadaan fizikal dan fizikal pula menentukan keadaan emosi.

Contohnya jika emosi kita baik/positif (bahagia, berbaik sangka dengan orang, suka bantu orang, mempermudah urusan orang dan seumpamanya)  fizikal kita akan turut baik/positif (sihat, cergas, pintar, cekap, bertenaga dan seumpamanya).  Demikianlah sebaliknya, jika hati kita buruk/negatif dan akhirnya memberikan kesan kepada fizikal/tubuh badan kita.

Analoginya, ambil sebatang besi yang berkarat dan genggam besi itu sekuat kuatnya.  Tentu tangan kita berasa sakit!  Adakah kita akan terus menggenggam besi berkarat itu sampai bila bila atau kita segera melepaskannya?  Dalam situasi ini adalah lebih baik jika kita membalingnya sejauh mungkin dari diri kita, agar besi itu tidak mencederakan kita lagi dan mencederakan orang sekeliling kita, terutama orang yang kita sayangi.

Begitulah dalam keadaan menempuh kehidupan ini,  sesuatu yang menyakitkan hati kita, yang akan memberikan kesan negatif kepada emosi dan memeningkan akal kita mestilah kita hindarkan jauh jauh dan sesegera mungkin.  Hal ini adalah kerana apa yang kita fikir dan percaya akan menjadi tindakan dan hasil kehidupan (dari segi bahagia, tenang, sihat dan kewangan kita) yang akhirnya memberikan kesan kepada fizikal.

Jika kita diumpat atau dihina orang, adakah kita akan marah dan menyimpan dendam?  Patutkah kita menyimpan perasaan negatif itu hingga herhari hari., berminggu minggu, berbulan bulan atau bertahun tahun?  Sedangkah orang yang mengumpat, mengata dan mengutuk kita itu, mungkin hanya menggunakan masanya lima minit sahaja untuk memuaskan hati negatifnya dan melunaskan tabiat negatifnya.

Akhirnya akibat memendam rasa, kita mengalami tekanan perasaan/stress dan mudah diserang pelbagai jenis penyakit.  Jangan menyalahi nasib diri, berasa rendah diri, tidak yakin kepada kemampuan dan kebolehan diri sendiri.  Ingatlah, bahawa kita hamba ALLAH, kita sama sahaja ada lebih dan kurangnya.  "kelebihan kita melengkapkan kekurangan orang, dan kekurangan kita dilengkapkan oeleh kelebihan orang lain"  Yang hebat hanyalah ALLAH SWT.

TIP HIDUP BAHAGIA
Tip untuk menjadikan kehidupan ini bahagia, ceria dan bermakna.  

Pertama, belajar untuk tenang dan rehat rehatkan minda.

Kedua, masuk ke dalam bilik dan duduk bersendirian, untuk renungkan diri dan bermuhasabah diri atau melihat ke dalam diri kita.   Cari dimana kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki dan di mana kebaikan yang perlu dipertingkatkan.  Ingat, orang yang tidak suka hidup bersendirian bermakna dirinya berada dalam kategori orang yang tidak menyayangi dirinya.  Orang yang tidak sayangi akan dirinya ialah orang yang tidak sayang ALLAH dan tidak bersyukur kepadaNYA.

Ketiga,  gunakan kaedah, "senaman cermin minda".  Gunakan otak atau minda untuk membuat keputusan hidup kita.  Bayangkan apa yang kita hendak jadi atau fokuskan pada masa akan datang, dengan tengok kekuatan dan kebolehan kita (refleksi diri).  Gambaran dalam fikiran kita itulah kehidupan kita.

Keempat, cakap yang baik baik sahaja dan fikir yang baik baik shaja tentang diri kita.  Kerana kata kata kita adalah doa dan tindakkan ALLAH berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita.  Jika kita bersangka baik maka baiklah jadinya, sebaliknya jika bersangka buruk maka buruklah jadinya.

Semoga sifat positif menjadi amalan kita dan niat untuk bahagia dan membahagiakan sentiasa ada.  Ingatlah yang paling berharga dalam hidup ini ada dua.  Pertama, masa.  Iaitu masa lalu menjadi sempadan kehidupan kita dan masa hadapan menjadi perjuangan hidup kita.  Masa yang berlalu tidak boleh ditebus, dibeli atau diganti, maka itu hargailah setiap detik waktu dengan perkara yang berharga.  Kurangkah bercakap tetapi lebihkan tindakan yang cekap.  
Kata Professor Hamka, 
"Orang yang bijaksana itu dikenali daripada ringkasnya kata kata dan indahnya pergaulan".

Janganlah jadi orang yang hidup dalam kesedaran keegoan yang tinggi dan sangat menjaga reputasi berdasarkan tanggapan orang lain atau terlalu memikir apa yang orang lain kata.  Tetapi, jadilah, manusia yang kesedaran keTUHANANnya sangat tinggi yang hanya fikirkan apakah pandangan ALLAH.  Jadilah orang yang menjaga hubungannya dengan ALLAH dan sesama manusia serta bebas daripada penghargaan dan cemuhan manusia.  Jadilah orang yang berilmu, yang menggunakan ilmunya utnuk memberi ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.  Dan jadilah orang kaya yang menggunakan harta kekayaannya pada jalan ALLAH.

Kitalah yang memimpin diri kita, sama ada untuk mencorakkan hidup kita dengan warna warni ceria atau warna warni suram dalam  sepanjang kehidupan kita.  Bagaimana kita melihat dunia ini, ibarat kita memakai cermin mata.  Jika cermin mata pilihan kita berwarna hitam, kita akan melihat dunia ini dengan warna kehitaman.  Jika memakai cermin mata berwarna coklat, dunia yang kita pandang akan berwarna coklat.

Andainya kita memilih cermin mata berkaca cerah, akan cerahlah  dunia yang kita pandang.  Sesungguhnya tangan kitalah yang menentukan "cermin mata kehidupan" pilihan kita.  Maksudnya, kita yang memimpin diri kita jalan yang menjadi laluan hidup kita.  "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak"

PROF DR MUHAYA MOHAMAD
ialah Professor Oftalmologi, 
Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim

No comments:

Post a Comment