Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,
Resepi untuk hari ini adalah Butter Bread Puding ataupun Puding Roti Bermentega. Saya buat puding ini kerana ingin menghabiskan saki baki kuning telur lebihan membuat kek kek tempahan yang tersimpan di dalam petisejuk. Mula mula memang saya tak tahu nak buat apa dengan telur telur kuning tersebut, tapi tetiba terpandang roti gardenia yang hampir luput tarikhnya di atas meja. Jadi sebelum dibakulsampahkan roti tersebut, adalah lebih baik saya menyelamatkannya dengan sesuatu yang memberi manfaat buat kami sekeluarga.
Jadi, terhasillah puding ini. Resepinya saya olah sendiri ikut benda benda yang ada di dapur kecil saya.
Kejadiannya taklah begitu elok. Mungkin disebabkan tempoh membakar yang agak singkat, maka di bahagian tengah tengah puding tidak begitu masak ataupun dalam kata lain separuh masak. Macam ni la belajar bila tidak berguru, hehehe. Tapikan, rasanya tetap enak banget di tekak saya. Suami dan anak anak pun suka.
Bahagian yang separuh masak tu pulak macam kuah kastad. Bila dipotong, tiba tiba kuah kastad mencurah curah keluar, wowww wwww, hohoho tetiba rasa macam berguru dengan Eric Lanlard pulak hehehe...
PUDING ROTI BERMENTEGA
Bahan bahannya :-
10-12 keping roti gardenia
Butter secukupnya
140gm gula kastor
6 biji kuning telur
2 - 3 sb tepung kastad
600ml susu cair / susu segar
1st esen vanila
kismis secukupnya
2 sb gula kastor untuk karamel
sedikit butter untuk disapu pada loyang
Cara caranya :-
1) Roti dibakar, kemudian disapu mentega sewaktu masih panas. Kemudian dipotong anggaran 1in. Asingkan.
2) Sapu loyang ataupun bekas yang bersesuaian dengan sedikit butter, kemudian taburkan gula kastor biar serata pada semua bahagian loyang.
3) Panaskan loyang tersebut di atas api sederhana hingga gula mencair dan keperang perangan. Padamkan api dan sejukkan sebentar.
4) Di dalam bekas yang berasingan satukan gula kastor dan tepung kastad, tuang susu segar sedikit demi sedikit sambil terus mengacau sehingga adunan tidak berbintil bintil, masukkan esen vanila dan kacau rata. Tapiskan adunan ini ke dalam bekas yang berisi karamel tadi. (item No 3)
5) Kemudian susun roti yang telah dibakar tadi di atasnya hingga habis.
6) Biarkan seketika hingga roti menyerap adunan cecair.
7) Taburkan kismis secukupnya. Boleh juga letak chocolate chip sekiranya suka.
8) Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius. Letakkan loyang di dalam satu bekas berisi air dan bakar puding selama lebih kurang 45minit ataupun sehingga masak.
9) Setelah masak, biarkan puding benar benar sejuk sebelum diterbalikkan di atas bekas yang bersesuaian.
10) Potonglah ikut kesukaan dan sedia untuk dinikmati !
No comments:
Post a Comment