Thursday, January 23, 2014

GULAI IKAN KERING/MASIN & NENAS



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Lamanya tak masak gulai ikan kering/masin.   Bila menjamah gulai ini  pasti membuatkan saya teringatkan arwah ibu.  Semasa hayatnya dulu arwah ibu selalu juga memasak gulai ini.   Dan selama hidup saya yang telah mencuba kepelbagaian resepi gulai ikan kering/masin, memang tidak dapat saya nafikan  air tangan ibu memang yang terbaik, tiada yang dapat menggantikannya.


Gulai ini saya masak mengikut kaedah yang selalu arwah ibu buat, iaitu kaedah tumis darat, sama seperti  memasak gulai nangka.  Memang wangi sangat baunya bila menumis begini.


Di bawah ini saya catatkan resepinya  :-

GULAI IKAN KERING/MASIN & NENAS

Bahan bahannya :

1/2 ekor ikan talang kering (tulang beserta isinya)
1 paket kecil rempah kari  ikan kering
1 mangkuk santan 
3 biji bawang merah ditumbuk
2 biji bawang putih ditumbuk
1/2 biji nenas masak 
1st  serbuk jintan manis
1 st serbuk lada hitam
garam secukup rasa

Bahan bahan tumis darat  :-
1st halba campur
1 atau 2 tangkai daun kari
3 biji bawang merah dihiris nipis
2 biji bawang putih dihiris nipis


Cara-caranya  :-
Ikan kering dipotong kecil dan dibersihkan.  Kemudian direndam dalam air panas atau direbus bersama sedikit garam bagi menghilangkan rasa masin ikan.  Toskan.

Di dalam sebuah periuk, masukkan ikan kering, rempah kari ikan kering yang telah dibancuh bersama sedikit air,  bawang merah, bawang putih, jintan manis,  lada hitam serta secawan  air.  Jerang di atas api sehingga mendidih.  Masukkan nenas, kacau rata,  masukkan pula santan.   Biarkan mendidih dan nenas agak layu dan sebati kuahnya.  Masukkan garam secukup rasa.  Bila mendidih, padamkan api.


Di dalam frying pan yang berasingan, panaskan minyak dan tumis bahan tumis darat hingga garing dan naik baunya.  Tuangkan kesemua bahan bahan tumisan tersebut ke dalam periuk berisi gulai ikan kering tadi dan tutup dengan penutup periuk serta merta bagi memerangkap baunya.  Selepas beberapa minit, bolehlah dibuka penutup kuali dan dikacau rata.  Hidangkan dengan nasi panas panas.


Selamat Mencuba !

No comments:

Post a Comment