Pages

Saturday, September 5, 2015

Resepi Chocolate Brownies Kedut Popular (Fudgy Brownies)

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera semua,
Brownies kedut yang semakin hari semakin mendapat tempat dihati semua, sangat popular sejak kebelakangan ini.   Untuk tidak menghampakan keinginan sendiri, saya juga tidak mau ketinggalan untuk mencubanya.

Saya buatkan brownies ini untuk anak saya Aiman sempena hari lahirnya pada awal bulan Ogos.  Tapi di penghujung bulan baru mama buatkan, huhuhu, nak buat macamana bila virus M telah melanda.

Kaedah penyediaan brownies ini sungguh mudah.  Campur campur, gaul gaul, tuang, ratakan dan bakar.   Jika betul caranya maka akan terhasillah brownies yang seakan akan kek coklat bantat dengan satu lapisan  kedut kedutan pada permukaannya.  Kedut bukan sebarang kedut okay, kedut ini digemari ramai hahaha, sehingga dikatakan lagi berkedut lagi eloklah kejadiannya.


Teksturnya padat, lembab dan sedikit melekit.  Rasanya pula tersangatlah kecoklatan disebabkan kandungan coklatnya yang tinggi, juga manis.  Jadi,  kena beringatlah ya, kalau anda penghidap diabetes, berhati hatilah ketika mengambilnya.


Oklah, kita lihat resepinya pula.  Pada dasarnya, brownies memiliki resepi yang hampir sama.  Yang membezakannya adalah kuantiti mentega, gula, coklat, telur dan tepungnya yang seterusnya akan menghasilkan tekstur yang berlainan samada padat, liat, seakan akan kek dan sebagainya.  Jom kita tengok....

Ops sebelum itu,  untuk melihat resepi fudgy brownies yg tidak kurang hebatnya versi Martha Stewart yg telah saya cuba sebelum ini, bolehlah klik di SINI.   Bahan bahannya adalah sama,  cuma kuantiti yg membezakannya.


CHOCOLATE BROWNIES 'KEDUT'
Sumber  :  JuicyCafe,  Cik Cek, Ayu  (tkasih byk.diucapkan kpd semuanya)


400 gm coklat kompound - potong kasar

150 gm mentega
100 gm gula perang
100 gm gula kastor
4 biji telur
1 sdk perasa vanila
100 gm tepung naik sendiri*
30 gm serbuk koko* - *satukan dan ayak



Cara-caranya..

1. Dalam mangkuk stainless steel, satukan coklat kompound dan mentega. Cairkan adunan dengan kaedah 'double boiler'. Tutup api dan angkat.
2. Dalam mangkuk lain, satukan pula gula perang, gula kastor, telur dan perasa vanila, gaul sebati.
3. Tuang dalam mangkuk adunan coklat dan gaul sehingga kesemua adunan rata dan sebati.
4. Masuk sedikit demi sedikit adunan tepung dan gaul rata.
5. Sediakan loyang bersaiz 10 x 10 inci, lapik kertas minyak dengan melebihkan sehingga paras ketinggian loyang. Ini supaya senang untuk ditarik keluar dari loyang dan oles sedikit mentega.
6. Tuang dalam loyang dan ratakan.


7. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan dengan suhu 160C selama 30 minit atau mengikut kesesuaian oven masing-masing.
8. Tutup suis oven, biarkan brownies dalam oven dengan pintu terbuka selama lebih kurang 15 minit.
9. Keluarkan dan potong mengikut pilihan anda.


Nota :-

- Jika mahu buat separuh adunan gunakan loyang bersaiz 8 x 8 inci.
- Boleh juga guna tepung gandum cuma tambahkan 1/2 sdk serbuk penaik.
- Gunakan mentega dan coklat kompound yang bermutu tinggi untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap.
- Boleh juga ditambah kekacang 100 gm jika suka.


1 comment:

  1. kak nak tanya. brownies akak ni jenis chewy ke cakey eh? btw thanks for recipe :)

    ReplyDelete