Pages

Thursday, December 26, 2013

Berlapang Dada Dengan Musibah Tanda Bersyukur

Sesiapa yang kenal ALLAH, dia yakin kepada ALLAH, senang untuk dia patuh kepada ALLAH dan pasrah atas segala qada dan qadar ALLAH.  Kita akan berasa tertekan kalau kita tidak suka dengan apa apa yang berlaku ke atas kita.  Kita tidak boleh pasrah atas apa apa yang berlaku kalau akidah, ibadah dan akhlak kita dengan ALLAH tidak terjaga.  Kualiti kehidupan kita bergantung kepada tahap kesedaran keTuhanan  dan kehambaan kita kepada ALLAH S.W.T.

Sesiapa yang tahap kesedaran keTuhanannya tinggi, in sha ALLAH, hidupnya bahagia.  Apabila kita kata tahap kesedaran maknanya, bagaimana cara kita melihat sesuatu peristiwa atau kejadian dan bagaimana kita menghadapinya.  Adakah kita menerima dan menghadapinya dengan ketabahan hati, sabar dan reda atau di sebaliknya.

Tahap kesedaran itu bergantung dari sudut mana kita melihatnya.  Contohnya, semut di atas permaidani, semut ketika ia berada di atas permaidani, ia tidak nampak apa apa pun keindahan pada permaidani itu.  Sebaliknya, semut itu berasa lemas, rimas dan sesak dengan permaidani yang berbulu tebal dan tempat berkumpulnya habuk dan pasir halus.  Tetapi, kalau kita naikkan semut itu ke atas, yakni menjadikan semut itu berada di tempat yang tinggi dari paras permaidani tadi, barulah semut itu nampak, cantiknya permaidani itu.

Demikian jugalah dengan segala peristiwa sedih dan hitam yang menimpa diri kita, yang ditakdirkan oleh ALLAH.  Kalau kita pandang ia sebagai musibah maka rebahlah semangat dan iman kita.  Tetapi, kalau kita pandang ia sebagai anugerah ALLAH untuk menguji keimanan kita, maka terpeliharalah keyakinan kita kepada TUHAN Yang Esa, serta dapatlah kita merasai kenikmatan kemanisan iman.  Bersyukurlah kita dalam musibah dan terimalah ia sebagai kurniaan kerana ALLAH hanya menguji hambaNYA yang terdaya menerima ujianNYA, serta yakinlah setelah kesusahan akan ada kesenangan menanti di hadapan.

Orang yang bijak, apabila berlaku sesuatu kepada dirinya, dia akan bertanya, "Apakah yang boleh saya belajar daripada peristiwa atau perkara ini?"  Atau, "Apakah yang boleh membuatkan saya menjadi dekat dengan ALLAH dalam situasi ini?"  Tentukan kita hidup dengan keimanan yang betul dan rukun islam itu kita buat dengan ikhlas atas kesedaran tanggungjawab kita kepada ALLAH dan berlapang dadalah kepada ALLAH.

Konsep berlapang dada ini, adalah mengubah cara kita memandang sesuatu.  Kita ubah bahasa yang kita gunakan, daripada kecewa, sedih kepada sabar dan reda, maka kita telah mengubah cara kita melihat ("reset minda").  Seterusnya mengubah cara kehidupan kita menghadapi sesuatu musibah, daripada susah kepada senang.

Kita ini sentiasa berada dalam dua situasi.  Pertama, samada dipengaruhi atau mempengaruhi.  Kedua, samada memberi perhatian atau mencari perhatian.  Itu Sahaja!  Sebab itu orang yang bijak atau "orang yang jernih", dia selalu mengatakan, "Dia melakukan kehidupan."  Tetapi, "Orang yang keladak", iaitu orang yang lemah akan mengatakan "Kehidupan berlaku dan dia terpaksa menghadapinya".   Maknanya, "orang yang keladak" tidak akan ada konsep berlapang dada dalam hidupnya.

Bagaimanakah cara hendak reda dan bersyukur setelah dilanda musibah?.  Pertama, mesti kenal diri kita dan kenal ALLAH.   Kita mesti tahu mengapa kita dilahirkan ke dunia ini, iaitu untuk mengimarahkan kehidupan ini.

Kedua,  untuk kita bersyukur ini kita tulis dalam "jurnal kesyukuran", setiap hari tulis tiga perkara yang kita kena bersyukur.  Kajian saintifik menunjukkan bahawa sesiapa yang menulis tiga perkara yang positif setiap hari secara konsisten dalam masa tiga bulan, kehidupannya akan berubah menjadi positif.

Dia menjadi lebih tenang, bahagia dan lebih reda menerima apa apa sahaja yang berlaku ke atasnya dengan hati terbuka.

Ketiga, sebagai orang Islam terus berdoa kepada ALLAH kerana telah menghidupkan kita kembali dan memberikan sehari lagi umur kita untuk meneruskan kehidupan.  Roh kita menjadi tenang apabila kita berdoa.

Keempat, menjaga emosi dengan cara memberi kasih sayang tanpa had, tidak kira orang itu baik atau tidak kepada kita.  Sayangi semua makhluk ALLAH, sentiasa memaafkan orang, takut hanya kepada ALLAH, buang jauh jauh perasaan, sedih, kecewa, marah, dendam, benci, tamak, dan suka percaya kepada tahyul.

Kelima,  banyakkan bersedekah, orang yang bersedekah terhindar daripada musibah, menyembuhkan penyakit dan tanda orang yang bersyukur.  Kerana kita percaya walau apa pun yang berlaku kepada kita, semuanya tanda ALLAH sudah tetapkan takdir untuk kita, maka apa apa sahaja yang berlaku kita akan tenang menghadapinya.

Kita mesti yakin apa apa yang ALLAH beri semuanya baik pada pandanganNYA, biar pun peristiwa itu buruk dan menjadi sejarah hitam hidup kita.  Oleh itu, bagi mangsa mangsa musibah sekalian yang masih selamat, bersyukur kerana ALLAH suka dengan orang yang sabar dan reda.  Kita mungkin kehilangan harta benda, tetapi ALLAH masih kekalkan anak anak kita dan keluarga kita.  Pandanglah apa yang kita ada, jangan pandang apa yang kita tiada, barulah kita akan bersyukur.

Semoga kita bersangka baik kepada ALLAH dan tidak berputus asa dalam hidup ini.  Kuatkan semangat untuk bangun semula setelah ditimpa musibah.  Kita berdoa sebagai hamba, dan ALLAH sebagai TUHAN kita, yang menentukan bila doa kita dimakbulkan.  "Jom jaga diri, jaga akidadh, ibadah dan akhlak".

556768 452889908074051 1460721447 n

PROF. DR MUHAYA MOHAMAD
(Professor Oftahmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili.

No comments:

Post a Comment