Pages

Saturday, April 3, 2010

Asam Pedas Ikan Pari

Salam semua,

Selama saya menjadi tukang masak di rumah, tak pernah sekalipun saya memasak asam pedas, sehinggalah saya terlihat resepi ini yang disediakan oleh chefwan di dalam rancangan ole-ole chef wan. Chef wan menggunakan ikan patin di dalam masakannya manakala saya menukarnya kepada ikan pari. Saya memang sukakan asam pedas terutama sekali bila terkenangkan masakan arwah ibu, memang sedap, terkadang tu saya hirup kuahnya begitu saja dan ratah ikan dengan bunga kantan . Alhamdulillah, walaupun pertama kali mencuba, masakan nampak menjadi dan rasanya sangatlah sedap.



ASAM PEDAS IKAN PATIN / IKAN PARI

Bahan-bahan
Ikan patin/ikan pari

Bahan-bahan kisar
5 sb cili kering
6 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 batang serai

1 inci halia - dihiris
1 inci lengkuas - dihiris

belacan
air asam jawa
1 batang bunga kantan - belah dua
sedikit daun kesum

Cara-cara
1. Ikan dibersihkan dan dipotong.
2. Hiris sedikit bawang putih dan bawang merah.
3. Tumiskan bahan2 hiris hingga naik bau. Masukkan bahan2 kisar. Masak sehingga pekat dan pecah minyak.
4. Masukkan ikan pari/patin. Biarkan sebentar.
5. Masukkan air asam, belacan, bunga kantan, halia hiris, lengkuas hiris dan sedikit air, garam dan gula.
6. Patahkan daun kesum dan masukkan ke dalamnya.
7. Masak sebentar sahaja, jangan biar terlalu lama kerana ikan akan hancur.

No comments:

Post a Comment