Pages

Thursday, January 30, 2014

Minda "Golongan Komited" dan "Golongan Beralasan"

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Rencana yang saya salin semula untuk mendidik diri sendiri serta renungan  pengunjung semua.  Semuga ada sesuatu yang dapat memberi manfaat, in sha Allah.



Satu perkara yang membezakan manusia dari makhluk ciptaan Allah yang lain ialah keupayaan untuk berfikir dan memilih apa yang difikirkan.  Banyak perkara berbentuk material boleh diambil daripada seseorang tetapi fikiran adalah sesuatu  hak milik sepenuh seseorang dan ia berupaya untuk mengawalnya.  Fikiran menghasilkan emosi, emosi menghasilkan tindakan dan tindakan menghasilkan hasil kehidupan yakni kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan.

Apakah formula untuk berjaya?  Orang yang berjaya, dia buat apa yang orang tidak berjaya tidak suka lakukan.  Bukan kerana dia suka tetapi ia menjadikan perkara itu tabiat yang dibuat tanpa perlu berfikir lagi.  Apakah formula untuk menjadi hebat?  Orang yang hebat dia buat tindakan yang luarbiasa, hasil daripada fikiran yang luarbiasa dan menghasilkan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan, ketakwaan dan kebahagiaan) yang luar biasa.

Hakikatnya, orang yang benar benar bahagia dalam hidupnya, suka apa yang dia buat dan buat apa yang dia suka dengan rahmat Allah dan mendapat sokongan daripada orang sekelilingnya.

Pertama, dia sudah nampak masa hadapannya, yakni dia melihat di dalam imaginasi apa yang dia percaya apa yang dia akan jadi pada 10, 20 atau 30 tahun akan datang.

Kedua,  sentiasa berfikiran positif, sedar dirinya unik dan yakin dirinya hebat.  Orang yang tidak yakin dirinya hebat bermakna dia tidak yakin dengan kehebatan Allah yang menciptanya.  
Ketiga,  sentiasa ada niat dan perasaan "hendak memberi" bukan hendak mendapat".  Oleh itu, apabila dia membuat sesuatu kerja, dia membuatnya dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan memberi sebanyak mungkin manfaat tanpa memikirkan berapa banyak manfaat yang dia boleh dapat, yakni dari segi ganjarannnya.

Keempat,  dia akan sentiasa berasa sesuatu benda atau perkara itu banyak dan rezeki sangat luas.  Oleh itu, dia sentiasa berlapang dada, tidak tamak haloba dan tidak berasa iri hati apabila tidak berpeluang memperolehinya.

Kelima,  sangat berdisiplin untuk mencapai cita citanya.

Keenam,  sentiasa boleh mengawal "dunia dalaman" (fikiran dan emosi) yang menentukan keputusan pilihan dan tindakannya dalam mencapai hasil kehidupannya.


Ciri ciri atau sikap orang yang dalam 'golongan beralasan".

Pertama,  tidak ada perancangan dan matlamat hidup.

Kedua,  sentiasa mengutuk diri sendiri dan berasa rendah diri hingga tidak berani mencuba sesuatu yang baharu dan asing buat dirinya.

Ketiga,  sangat berkira dan suka memberi "alasan" apabila tidak berjaya bukan mencari "jalan" untuk mencapai kejayaan.  "Alasan" kegagalannya itu selalunya dikatakan berpunca daripada orang lain atau faktor luaran.

Keempat,  sentiasa berasa dunia ini sempit, rezeki sedikit dan peluang terhad dan akan berebut dan cepat merasa dengki dengan kejayaan orang lain.  Oleh itu, dia sentiasa hendak bersaing, kedekut dan sering enggan memberi kerjasama.  

Kelima,  tidak tetap pendirian dan tidak konsisten.

Keenam,  berfikiran negatif dan sangat emosional.


Manusia boleh berubah menjadi baik, yakni daripada "golongan beralasan" menjadi "golongan komited" dengan cara membuat perubahan paradigma.  Paradigma bermaksud bagaimana seseorang itu berfikir dan kemudian memberikan respons emosi terhadap apa apa yang berlaku.

Dalam Kamus Dewan, paradigma bermaksud batasan pemikiran seseorang pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman.  Paradigma terkandung dalam pengalaman.  Paradigma terkandung dalam "minda sedar" iaitu apa yang kita fikirkan dan terkandung juga dalam minda segar/minda bawah sedar (roh) yang 95 peratus menentukan kehidupan seseorang.  

Oleh itu, seseorang boleh mengubah paradigma dengan mengubah cara  berfikir.  Sebenarnya apa yang kita lihat bukan dengan mata fizikal tetapi kita melihat melalui mata hati.  Apabila seseorang mempunyak banyak ilmu yang luas, tafsiranya terhadap sesuatu yang dilihatnya menjadi luas berbanding dengan orang yang kurang berilmu.

Paradigma yang akan menentukan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan)  Demikianlah betapa pentingnya ilmu, kerana kekuatan minda dan fikiran ditentukan oleh saringan dan pilihan bahan bacaan dan tontonan yang mampu menjadikan kita kaya dengan ilmu.

Oleh itu, bagi menentukan sama ada kita termasuk dalam "golongan berjaya' atau "golongan komited" sangat sangat bergantung kepada pilihan kehidupan kita yang kelima iaitu "minda dan fikiran".

Oleh sebab itulah saya perkenalkan satu konsep atau gaya pemikiran yang saya namakan "Reset Minda" iaitu sains kehidupan yang mengikut sunatullah, yakni undang undang alam yang dicipta Allah.

"Reset Minda" memandu arah bagaimana kita :"berfikir" (melalui minda sedar/akal) dan bagaiman kita "beremosi" (melalui minda bawah sedar/hati) apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

"Reset Minda" adalah konsep pemikiran bagaimana mengubah cara kita melihat sesuatu kejadian dan peristiwa yang terjadi ke atas diri kita.  Kalau sesuatu kejadian itu menyedihkan kita, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah dan kita reda.  Sebaliknya jika peristiwa gembira yang hadir dalam hidup kita, terimalah sebagai satu rahmat daripada Allah dan kita bersyukur serta sedari bahawa apa yang kita peroleh itu bukan kerana kehebatan kita, tetapi kurniaan Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Berkuasa.

Dengan kedua dua cara ini, kita akan menjadi seorang  yang tabah dan tidak riak, malah akan sentiasa merendah hati (bukan merendah diri).  Memegang resmi padi "semakin berisi semakin berliut  lentuk menyembuh bumi".  bukan seperti lalang "mencanak ke langit tinggi kosong tidak disenangi oleh orang di sekeliling kita, dan kita pula menjadi seorang yang bahagia dan membahagiakan.

Ubah cara kita melihat sesuatu,   (Reset minda) jika sesuatu masalah menimpa kita, lihatlah masalah itu sebagai satu peluang yakni "batu loncatan" bukan "batu halangan" untuk capai satu kejayaan yang baharu.

Kalau kita fokus kepada perkara yang baik/positif, in sha Allah kita akan dapat perkara yang baik sahaja.  Masalahnya sekarang, kita suka fokus kepada masalah, jadi masalah pun datang dan kalau memang sudah sedia ada masalah, masalah menjadi semakin membesar.

Oleh sebab itu, dalam konsep pemikiran "Reset Minda" disarankan kita menjaga tiga perkara.  Pertama,  kata kata yang keluar dari mulut kita.  Kedua,   fikiran yang berkisar dalam minda kita.  Ketiga, perasaan yang berbolak balik dalam hati kita.  Pastikan semua kata kata itu, yang positif dan jangan ada sama sekali kata kata negatif.

Hal  ini adalah sangat penting kerana, dalam islam kata kata itu adalah satu doa.  Sebagaimana Hadis Qudsi menyatakan "Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita atau sangkaan kita, kalau kita sangka baik, baiklah yang kita dapat, demikianlah sebaliknya.  Oleh itu, bersangka baiklah dengan Allah".

Demikianlah kepentingan minda atau akal anugerah Allah yang membezakan manusa dengan haiwan.  "Lalang suburnya kerana akar, rentaplah akarnya, lalang bakal kering terkapar".  Kalau "orang mulianya kerana akal, jagalah akalnya, hati menjadi cekal, minda menjadi segar".  (dalam buku Mata Akal Mata Hati). " Jom audit diri, Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".


PROF DR MUHAYA MOHAMAD
ialah professor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili.



Tuesday, January 28, 2014

PEKASAM TENGGIRI GORENG BERCILI



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Tenggiri pekasam goreng bercili menjadi hidangan tengahari kami sekeluarga minggu lepas.   Ikan tenggiri pekasam ini dibeli oleh hubby di Sitiawan, Perak.   Ini pertama kali saya merasa pekasam yang dibuat daripada ikan laut, memang sedap sangat rasanya.  Baunya pun tidak begitu kuat seperti pekasam yang pernah dibeli sebelum ini.  Saya paling suka makan beras pekasam yang digoreng.

  Selalunya di sebelah utara,  kebanyakkan pekasam dibuat menggunakan ikan darat seperti ikan keli dan ikan sepat.   Saya hanya pernah makan sepat pekasam sebelum ini.


Antara yang saya goreng adalah,  ikan tenggiri pekasam, cili kering digunting kecil dan bawang merah dihiris.  Kesemua bahan di atas saya goreng secara berasingan agar kerangupannya kekal.  Dan digaul sekali bila waktu menghidangkannya.



Ini bungkusan tenggiri pekasam yang dibeli.  Harganya cuma RM 3.00 sepaket.  Dalamnya saya rasa seekor ikan tenggiri yang telah dipotong potong.








Sunday, January 26, 2014

Selamat Hari Lahir Anakku Sayang......


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Kek ini saya buatkan untuk anak bongsu saya Zaheen Zaidany sempena hari lahirnya yang ke 8 tahun.  Hari lahir Zaheen jatuh pada 26hb Disember yang lepas sebenarnya.  Tapi disebabkan mamanya asyik memenuhi tempahan pada musim cuti persekolahan, maka kek Zaheen terpaksa ditunda pada bulan ini.   Bagi menggantikan kek,  mama dan abah dah bawa Zaheen pergi makan makan di Puncak Kristal, Kg Pelet, Sbg Perai bagi meraikannya pada hari istimewa itu.


Ini  pertama kali saya cuba menghasilkan figurine berbentuk doraemon (atas permintaan Zaheen sendiri yang memang peminat tegar siri kartun doraemon)  dan kanak kanak lelaki menggunakan  readymade fondant.  Dah lama sangat teringin nak buat figurine, jadi rasanya ini peluang terbaik untuk saya mencubanya, manalah tau kot kot ada bakat terpendam yang boleh dicungkil keluar, heheheh.    Begitulah hasilnya setelah diulit berjam jam lamanya, amaturlah katakan.  


Lepas tengok hasilannya, anak keempat saya Amin Fayyadh bersuara,  "Mama, mana misai dan loceng  doraemon??".   "Hmmm, mama tak ada pensil khusus untuk melukis di atas fondant, tak beli lagi, jadi tak dapatlah nak melukis misai doraemon, loceng pulak memang mama terlupa langsung nak buatkan."

Zaheen pula tersenyum malu  bila melihatkan hasilan kek hari lahirnya.  Sambil menyorok di belakang saya, Zaheen bersuara  perlahan, "Mama,  mulut doraemon bukan macam tu".  Hahaha, mama baru first time mencubanya sayang, mestilah ada banyak kekurangannya, nanti lain kali mama perbaiki agar nampak lebih sama.




Kedua duanya mendongak memandang bentuk bentuk hati yang berdiri kukuh  mengelilingi mereka.    Mama buatkan sebagai lambang kasih dan sayang mama serta abah yang akan senantiasa mengiringi kehidupan  Zaheen, in sha ALLAH.


Selamat hari lahir anakku sayang, semuga hidupmu senantiasa diberkati dan dilimpahi rahmat dan kasih sayang ALLAH.  Mama akan senantiasa mendoakanmu.  Amin.









Yang ni masa proses membentuk figurine, terpaksa meletak jarum peniti bagi mengelakkan  sesetengah bahagian tertanggal semasa mengeringkannya.



Beginilah hasilnya setelah dipotong.





Thursday, January 23, 2014

GULAI IKAN KERING/MASIN & NENAS



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Lamanya tak masak gulai ikan kering/masin.   Bila menjamah gulai ini  pasti membuatkan saya teringatkan arwah ibu.  Semasa hayatnya dulu arwah ibu selalu juga memasak gulai ini.   Dan selama hidup saya yang telah mencuba kepelbagaian resepi gulai ikan kering/masin, memang tidak dapat saya nafikan  air tangan ibu memang yang terbaik, tiada yang dapat menggantikannya.


Gulai ini saya masak mengikut kaedah yang selalu arwah ibu buat, iaitu kaedah tumis darat, sama seperti  memasak gulai nangka.  Memang wangi sangat baunya bila menumis begini.


Di bawah ini saya catatkan resepinya  :-

GULAI IKAN KERING/MASIN & NENAS

Bahan bahannya :

1/2 ekor ikan talang kering (tulang beserta isinya)
1 paket kecil rempah kari  ikan kering
1 mangkuk santan 
3 biji bawang merah ditumbuk
2 biji bawang putih ditumbuk
1/2 biji nenas masak 
1st  serbuk jintan manis
1 st serbuk lada hitam
garam secukup rasa

Bahan bahan tumis darat  :-
1st halba campur
1 atau 2 tangkai daun kari
3 biji bawang merah dihiris nipis
2 biji bawang putih dihiris nipis


Cara-caranya  :-
Ikan kering dipotong kecil dan dibersihkan.  Kemudian direndam dalam air panas atau direbus bersama sedikit garam bagi menghilangkan rasa masin ikan.  Toskan.

Di dalam sebuah periuk, masukkan ikan kering, rempah kari ikan kering yang telah dibancuh bersama sedikit air,  bawang merah, bawang putih, jintan manis,  lada hitam serta secawan  air.  Jerang di atas api sehingga mendidih.  Masukkan nenas, kacau rata,  masukkan pula santan.   Biarkan mendidih dan nenas agak layu dan sebati kuahnya.  Masukkan garam secukup rasa.  Bila mendidih, padamkan api.


Di dalam frying pan yang berasingan, panaskan minyak dan tumis bahan tumis darat hingga garing dan naik baunya.  Tuangkan kesemua bahan bahan tumisan tersebut ke dalam periuk berisi gulai ikan kering tadi dan tutup dengan penutup periuk serta merta bagi memerangkap baunya.  Selepas beberapa minit, bolehlah dibuka penutup kuali dan dikacau rata.  Hidangkan dengan nasi panas panas.


Selamat Mencuba !

Sunday, January 19, 2014

Italian Rainbow Cake Imani Hafiyya



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Rainbow Cake dengan hiasan bintang bintang kecil ini saya buatkan atas tempahan Fathiyah yang menetap di Sri Iskandar, Perak, sempena setahun hari lahir anaknya,  Imani Hafiyya.


Rainbow Cake dengan italian meringue buttercream frosting.   First time mencuba frosting ini.  Hiasan bintang bintang dan huruf pada keliling kek pula daripada fondant serta sedikit taburan chocolate beans di atasnya.


Selamat Hari Lahir diucapkan buat Imani Hafiyya, semuga membesar menjadi anak yang solehah, cemerlang hidup di dunia serta akhirat, amin.


Berat kek ini ialah 2kg ++.  Kesemua kek rainbow di deWattiesDelight beratnya melebihi 2kg.  Kalau 1kg memang tak dapat nak dibuat kek rainbow sebab adunan jadi terlalu nipis bila dibakar dan amat sukar untuk dikendalikan sewaktu membuat dekorasi.


Macam biasalah, kek sebiji saja, tapi gambar berderet deret, heheheh.   Memang tak dapat nak dibuang tabiat ini yang suka mengambil gambar banyak banyak hingga puashati.    Dah tu, sayang pulak nak delete, jadi letak sajala semuanya sebagai kenangan.


Fathiyah pulang ke rumah ibunya di Taman Mutiara, Bukit Mertajam.   Kek diambil lebih kurang jam 10.30pagi.  

Tengahari tu  saya terima sms feedback daripada Fathiyah berbunyi begini  :-

Kak, tq so much for the cake, cantik, sedap sgt, puashati kami sekeluarga.

Alhamdulillah, syukur,  terimakasih banyak.  Terharu dan bahagia rasa hati bila semua menyukainya.  Terimakasih juga kerana sudi menempah daripada akak.













Thursday, January 16, 2014

Kek Karamel Salam Perpisahan



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Kek karamel sempena salam perpisahan ini ditempah oleh Rina dari Bomba Prai.


Ini pertama kali saya buat kek karamel seberat 2kg.


Terimakasih banyak di atas tempahan ini.  Sebarang kekurangan harap dimaafkan.




Monday, January 13, 2014

Pulut Kuning Berhias, DoorGift Mini Pulut Kuning, Apam PolkaDot dan Chicken Pie Akad Nikah


'

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,
Selamat Tahun Baru 2014 dan Salam Maulidur Rasul (1435 hijrah) diucapkan untuk semua pengunjung blog kesayangan hamba.  Maaf, baru ada masa nak ucap selamat tahun baru hehehe.


Tempahan Pulut Kuning Berhias menjadi pembuka tirai untuk tempahan  tahun 2014.  Tempahan yang diletak sebelum ini adalah tempahan2 yang telah saya buat pada tahun 2013 yang e lepas.  

Tempahan dibuat oleh Najwa sebulan lebih sebelum majlis akad nikah beliau.  Terimakasih banyak kerana membuat tempahan awal, ianya sangat sangat membantu.


Ini merupakan kali pertama saya menerima tempahan pulut kuning berhias.  Masa mula mula Najwa bertanya,  saya rasa agak yakin untuk menerima tempahan ini kerana telah pernah mencubanya semasa hari raya qurban yang lepas.  Cuma bezanya, kali ini dalam saiz yang agak besar.  Jadi, kenalah menggandakan kuantitinya bagi disesuaikan dengan kek pulut kuning dan juga doorgift pulut kuning.


Gambar pulut kuning diambil pada jam 2.30pagi (masa ni baru siap kesemuanya huhuhu) sebab tulah agak malap sedikit kejadiannya.  Kesemua tempahan dibuat sehari sebelum majlis.


Bahagian atas kek  bersaiz 7" (berat pulut 1kg)   dan bahagian bawah bersaiz 9" (berat pulut 2++kg).  Berat keseluruhan  kek pulut kuning  beserta hiasan  mencecah  4.5kg.  Fuhhhh berat tu....


Disamping pulut kuning berhias, Najwa juga menempah doorgift mini pulut kuning, apam polkadot dan pai ayam.




Untuk hiasan, saya buatkan burung telur, telur dadar, capsicum dipotong bunga, karrot bunga, daun bawang serta salad.  Karrot berbentuk bunga ini pakai hentam aja  idea rekaannya mengikut imaginasi yang datang dalam minda, bunga capsicum  pula saya mencuba potongan berbentuk bunga lotus (yg ni belajar melalui youtube).   Maka, terhasillah gubahan seperti diatas.  


Mengukus pulut kuning dalam kuantiti yang banyak  mengambil masa yang agak  lama, ditambah pula saiz periuk pengukus saya yang kecil.  Jadi, terpaksalah membuat beberapa kali kukusan.  Masuk keluar, masuk keluar, huhuhu.......


Dua hati satu jiwa lambang cinta sejati.



Yang ni bahagian bawah kek, saya buatkan 4 ekor burung telur, cili merah dipotong bunga, karrot dipotong bunga, telur dadar serta salad.





Inilah dia doorgift mini pulut kuning.  Antara kandungannya adalah pulut kuning berlapis serunding, telur puyuh, tomato ceri, telur dadar, cili potong dan salad segar.




Siap dipek dan dimasukkan ke dalam kotak.


Saya buatkan lebih satu pek untuk disnap gambar yang lebih jelas di waktu tengahari.  Jadi, beginilah hasilnya untuk tatapan semua.






Mula mula saya sangkakan Najwa nakkan pek cupcake yang sebegini, rupa rupanya beliau nakkan pek yang lebih tinggi dan lonjong seperti di atas. Huhuhu....camana ni, bekas dah dibeli...... Disebabkan saya telahpun membeli bekas ini, maka saya isikan jugalah satu pek untuk disnap gambarnya sebagai kenang kenangan.


Doorgift mini pulut kuning.   Kandungannya, pulut kuning, serunding, telur dadar, telur puyuh, cili potong, tomato ceri dan salad.


  
Saya lebih menyukai bekas cupcake ini, nampak lebih comel, cuma saiznya agak kecil.






Apam PolkaDot yang sekejap menjadi sekejap tak, hehehe...



Pai Ayam



Apam PolkaDot dan Pai Ayam siap lebih awal sebelah petang jadi sempatlah bergambar di siang hari dan gambar nampak lebih jelas.






Inilah rupa serunding homemade yang saya buatkan khusus untuk kek berhias.  Suami dan anak anak gotong royong tolong carikkan isi daging.  Masa mencarik ni semua mengeluh kepenatan.   Renyahnya.......rungut mr hubby.  Kata saya,  takpala mungkin ini merupakan kali pertama dan terakhir saya menerima tempahan pulut kuning ini, huhuhu.  Dalam hati berkata, aduh aku pun tak tahan jugak sebenarnya ni.  Menyiat daging untuk dibuat serunding bukanlah suatu kerja yang menyeronokkan sebenarnya.


Menggoreng serunding dalam kuantiti yang agak banyak juga satu kerja yang  sangat memerlukan kesabaran yang tinggi.  Bayangkan saya berdiri berjam jam lamanya menunggu serunding masak.  Bahagian paling mencabar adalah bila serunding mulai  memekat,  tenaga yang banyak diperlukan untuk menggoreng tanpa henti agar serunding tidak hangus dan serata masakannya.  Tambahan pula, kuali yang saya ada cuma kuali yang kecil, jadi saya terpaksa membuat dua kali masakan bagi mendapatkan kuantiti sebagaimana yang dikehendaki, huwaaaaa, bayangkan bagaimana penatnya saya ketika itu, hanya Allah saja yang tahu.   Masa ini juga semangat saya mulai goyah.........tapi..........ohhhh,  tidakkkkkkk,    aku tidak boleh mengalahhhhh.........sambil berdoa dan berzikir di dalam hati, saya meneruskan misi yang sangat mencabar ini.  Alhamdulillah, saya sangat yakin dengan pertolongan Allah SWT, dimana ada kesabaran disitulah ada jalannya,  Cukuplah Allah tempat hamba memohon pertolongan dan perlindungan.



Inilah hasil serunding yang telah dicarik oleh saya, hubby dan anak anak.  Terimakasih banyak kepada semuanya, tanpa mereka apalah dayaku.

Apabila melihatkan hasilnya, alhamdulillah terasa suatu macam kebahagiaan yang sukar untuk digambarkan walaupun kejadiannya tidaklah sehebat mereka yang pakar.


Buat Najwa, terimakasih banyak diucapkan kerana memberi peluang untuk akak mencuba sesuatu yang baru dan sangat sangat mencabar ini.  Terimakasih juga di atas kepercayaan yang telah diberikan.  Diharap Najwa sekeluarga berpuashati dengan hasil yang telah akak usahakan.  Jika terdapat sebarang kekurangan haraplah dimaafkan.    Akak doakan  semuga Najwa berbahagia hingga ke syurga abadi, amin.